BERITA+: Tular dakwaan konon 'ratusan' peragut sedia terkam pelancong dari S'pura
Sempadan Singapura-Malaysia mula dibuka esok (29 Nov). BerKicau pula di media sosial, kenyataan dan video tular yang mencemari berita menggembirakan itu - kononnya "ratusan" peragut bersedia menerkam pelancong dari Singapura.

Petikan sebuah video yang tersebar di media sosial baru-baru, menunjukkan kononnya pencuri bermotosikal meragut pelancong di Johor Bahru.
SINGAPURA: Sempadan Singapura-Malaysia mula dibuka esok (29 Nov).
BerKicau pula di media sosial, kenyataan dan video tular yang mencemari berita menggembirakan itu - kononnya "ratusan" peragut bersedia menerkam pelancong dari Singapura.
Kenyataan itu tidak benar, tegas polis Johor, sambil memberi amaran tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu.
Satu video tersebar di media sosial baru-baru ini mendakwa bahawa kononnya pencuri bermotosikal menunggu mangsa di luar Pusat Beli Belah City Square di Johor Bahru.
Namun, jika video tersebut diteliti dengan lebih dekat lagi, dua perkara menonjol - anda boleh mendengar suara seseorang memberi arahan untuk memulakan adegan lakonan.
"Tiga, dua, satu - eksyen!"
Jurukameranya pula boleh dilihat merakam aksi mencuri yang berlaku di hadapannya. Ternyata, ia sekadar lakonan.
Mesej yang tular di WhatsApp juga membuat kenyataan yang sama - ratusan peragut menunggu di luar pusat beli-belah dan bersedia untuk menyerang pelancong Singapura.
Ia mendakwa pihak polis tidak akan mengambil tindakan kerana bilangan perompak terlalu ramai.
Polis Johor pada Rabu lalu (24 Nov) menyangkal dakwaan itu menerusi satu kenyataan di Facebook. Tegasnya, kes ragut di Johor turun lebih 77 peratus pada 2021.
Jaminan polis tentang keadaan di Johor yang selamat meraih ratusan komen dan "like" di Facebook BERITAmediacorp.
"Patut bersyukur kerana sempadan bakal dibuka, bukannya berburuk sangka", kata seorang netizen.
"Terbaik polis Malaysia. Good job," menurut seorang lagi warganet.
Jelas, kenyataan yang menakut-nakutkan itu tidak menjejas ribuan pelanggan yang membanjiri laman penyedia khidmat bas VTL.
Tiket cepat habis ditempah sebaik sahaja penjualan dibuka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.