Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BERITA+: Suku kaum Temuan M'sia semakin dekatkan diri dengan dunia luar

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Bagi suku kaum Temuan dekat dengan ibu kota Kuala Lumpur, mereka kini semakin mendekatkan diri kepada dunia luar.

Ini agar masyarakat orang asli di sana tidak berasa terpinggir dan semakin diterima oleh rakyat Malaysia yang lain.

Suku kaum Temuan tinggal di Kampung Serendah yang terletak kurang sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Sebilangan besar daripada 380 penduduk kampung tidak pernah keluar dari kawasan tempat tinggal mereka.

Elok Sapa, 67 tahun, menghabiskan masa menoreh getah, menuai buah-buahan atau memotong kayu untuk membuat atap.
 
Kawasan hutan di sana adalah satu-satunya tempat yang selesa untuk mereka. Ini meskipun kemungkinan pembangunan mengancam kehidupan mereka.

"Sebab saya tidak sekolah, itu (sebab) saya susah nak kerja di bandar. Kalau kerja kilang, kalau apa yang hilang, saya tidak tahu. Mesti orang kilang tertekan (dengan) saya sebab saya jaga di sana. 

"Saya tak nak lah. Sebab saya tak nak lah busuk nama kaum saya," ujarnya. 

Orang asli Temuan ini merangkumi kurang satu peratus atau sekitar 180,000 daripada penduduk Malaysia.
 
Ramai tidak pernah ke sekolah dan tiada sumber pendapatan yang tetap. Ini sebaliknya menjadikan mereka terpinggir.
 
Kumpulan bukan meraih keuntungan (NPO) Native Discovery membantu orang-orang asli itu dikenali lebih ramai orang.Mereka misalnya membantu para pelawat mengelilingi kawasan hutan.

"Kita ajar orang, pokok ini ubat hutan punya ubat, kita ajar kepada orang yang pergi mendaki gunung semua. Dan ajar yang tidak tahu - pokok, daun bertam, macam mana nak buat rumah. Kita berkongsi, bawa mereka buat apa yang orang kampung buat. Menganyam, masakan orang kampunglah macam mana," kata Masnin Matinjau, antara orang asli yang tinggal di Serendah.

Dengan mengalu-alukan orang luar, Native Discovery berharap dapat membantu mereka buka minda ke dunia luar dan memecahkan stigma antara mereka dengan masyarakat Malaysia yang lain.
 
Sekali pandang, hasil seni Leny Maknoh, 41 tahun, kelihatan seperti gambar tetapi jika diteliti, ia sebenarnya dihasilkan menggunakan pensil.
 
Sebagai orang asli sendiri, Leny cuba berkongsi pemahamannya mengenai budaya kaum Temuan melalui cerita yang mungkin sebelum ini belum pernah didengar orang.
 
"Motif utama saya melukis potret wajah-wajah orang asli kerana kebanyakan masyarakat di luar, mereka tidak kenal siapa orang asli sebenarnya. Saya sebagai salah seorang orang asli, ingin semua orang mengenali kaum kita sama dengan kaum orang lain. 

"Kerana masyarakat luar tak kenal siapa kita, jadi mereka akan memandang rendah. Jadi saya berharap dapat memberi mereka keyakinan untuk keluar dan berjaya," ujar seniman itu.  

Selain melukis, Leny juga mengembara merata negara untuk mengajar kanak-kanak seni lukisan. Beliau berharap generasi muda orang asli akan berkongsi cerita sebenar kaum tersebut kepada masyarakat umum di Malaysia dan pastikan suara mereka diambil kira.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan