Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BERITA+: Ribuan cari rezeki di tapak pelupusan di Indonesia; 80% sampah adalah sisa makanan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Ribuan cari rezeki di tapak pelupusan di Indonesia; 80% sampah adalah sisa makanan

Gambar Hiasan. Gambar: Sumber Web

BEKASI/JAWA BARAT: Di Indonesia, ribuan penduduk mengais-ngais sampah sarap setiap hari untuk mendapatkan wang bagi mengisi perut mereka dan ahli keluarga.

Dengan mengalihkan sisa sampah itu, mereka turut membantu mengurangkan bertan-tan karbon dioksida setiap tahun.

Namun, mereka bukannya dianggap sebagai wira alam sekitar.

Sebaliknya, mereka sering dilihat sebagai gelandangan dan tidak diendahkan.

Berikut dilaporkan koresponden, Chandni Vatvani.

Joni, 54 tahun, memisah-misahkan sampah di tapak pelupusan sampah Jawa Barat itu selama lebih 30 tahun.

Bekerja lebih sepuluh jam setiap hari, Encik Joni sering makan sisa makanan yang ditemuinya.

Encik Joni biasanya memakan roti dan semangka dan apa yang dinilainya masih boleh dimakan.

Encik Joni bukan satu-satunya yang berbuat demikian.

"Kadang-kadang ada yang suka mengadu. Jangan sering makan-makan seperti itu lah, katanya.

"Habis bagaimana, kadang-kadang perut saya lapar, tidak bawa wang."

Encik Joni dan Encik Kisto merupakan dua daripada 400 warga yang bekerja di tapak pelupusan sampah itu, di mana hampir 80 peratus sampah sarap yang dibuang merangkumi sisa makanan.

Pegawai yang bertugas, Toni Kurniadi berkata, orang ramai perlu lebih bijak tentang tabiat pemakanan mereka.

"Kalau ada makanan busuk sedikit, seharusnya boleh dibuang yang busuknya. Sisanya, yang tidak busuk masih boleh dimakan. Kadang-kadang mereka tidak mahu," kata Encik Toni Kurniadi.

Menurut Program Makanan Sedunia, hampir 23 juta orang tidak dapat memenuhi keperluan pemakanan mereka.

Ini sedang harga makanan yang tinggi dan ketidakseimbangan dalam akses kepada makanan kekal menjadi masalah.

Mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan terus dipinggirkan, seperti Erciana, ibu tiga anak berusia 37 tahun ini, yang terpaksa hidup gelandangan sejak 2012.

Beliau disuruh ke Yayasan KDM, sebuah badan bukan pemerintah yang telah berkhidmat kepada kanak-kanak jalanan dan masyarakat yang terpinggir, sejak 1972.

Cik Erciana pernah tinggal di yayasan itu sebanyak tiga kali, yang paling lama adalah untuk hampir dua tahun.

"Kalau di sini, makan kita terjamin, lingkungannya juga lingkungan sihat. Tidak ada banyak yang perlu dirisaukan, seperti boleh makan ke saya esok?," kata Cik Erciana.

Yayasan KDM menyediakan penginapan, makanan, sokongan serta pendidikan bagi yang memerlukannya.

Ditanya jika makanan menjadi faktor kenapa mereka yang tinggal di jalanan, akhirnya datang ke sini, Pekerja Sosial Yayasan Kampus Diakoneia Moden, Andik Hariawan menjawab, "Ya. Itu salah satu faktor yang memang mereka pilih. Daripada saya penat-penat cari makan dan segala macam, lebih baik saya tinggal di KDM atau yayasan."

Pekerja sosial seperti Encik Andik mendekati anggota masyarakat yang terpinggir dan menawarkan sokongan kepada mereka, dengan harapan yang mereka terdorong untuk menerima bantuan dan menjadi berdikari.

Sebelum pandemik COVID-19, hampir 25 juta orang hidup di bawah garis kemiskinan nasional, menurut Biro Statistik Indonesia.

Jumlah itu kemudian meningkat kepada 26.5 juta pada 2021.

Sebuah laporan pemerintah baru-baru ini yang menyemak data selama 20 tahun dari 2000 hingga 2019 menunjukkan, sisa makanan merangkumi lebih 100 kilogram per kapita setiap tahun.

Dan ia merupakan masalah kompleks.

"Jika anda melihat daripada perspektif sosial, bayangkan jumlah makanan yang dibuang atau dibazirkan berbanding bilangan orang yang boleh diberi makanan itu. Diperkirakan, dengan jumlah makanan yang dibuang atau dibazirkan, mungkin anda boleh memberi makan kepada lebih 60 juta orang, kata Wakil FAO, Indonesia & Timor Leste, Rajendra Arya.

Sementara pertubuhan kebajikan seperti Yayasan KDM terus membantu golongan yang memerlukan, lebih banyak perlu dilakukan untuk memberi kesan berpanjangan bagi mereka yang kelaparan.
Sumber : CNA/IQ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan