BERITA+: Permainan papan Paduk makin dapat perhatian murid tadika Korea Utara
Permainan papan Paduk semakin mendapat tempat dalam kalangan murid-murid tadika di Korea Utara.

Papan Paduk. (Gambar: Wikimedia Commons)
Pyongyang: Permainan papan Paduk semakin mendapat tempat dalam kalangan murid-murid tadika di Korea Utara.
Permainan yang menggunakan "batu-batu" hitam dan putih itu nampaknya mudah.
Namun ia agak mencabar kerana jumlah kedudukan batu-batu tiada hadnya dan memerlukan si pemain melakukan pergerakan mengikut naluri selain perlu fleksibel.
Matlamatnya adalah untuk mengepung pergerakan batu-batu pihak lawan.
Korea Utara mahu mempromosikan permainan itu sebagai budaya tempatan tetapi China dan Jepun juga menuntutnya sebagai warisan masing-masing.
Apa yang pasti, ia adalah peluang bagi kanak-kanak Korea Utara bermain dan mengasah kemahiran intelek.
Misalnya, salah satu tadika yang terletak di sebuah daerah mewah di Pyongyang berdekatan pusat bandar yang dipanggil "Mirae" yang bermaksud "Masa Depan".
Ia sebahagian daripada projek pembangunan semula pada 2016 untuk menempatkan para saintis dan teknisyen di sepanjang Sungai Taedong.
Jalan baru utama di daerah itu juga digelar Jalan Saintis Masa Depan.
Sesi bermain di tadika di Pyongyang dipastikan singkat dengan kanak-kanak diberikan masa sejam untuk bermain Paduk dan masa untuk setiap pertandingan dihadkan kepada 15 hingga 45 minit.
Bagi anak-anak tadika itu, apa yang penting adalah peluang untuk bermain dan menikmati cabaran intelektual permainan ini, di tengah-tengah aturan kehidupan yang tegas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.