BERITA+: Lebih 15 hektar bakau ditanam di Banyuasin dalam pemulihan hutan bakau Indonesia
Anggaran Waktu Membaca:
BANYUASIN: Yayasan Temasek menyatakan projek pemulihan hutan bakaunya di Indonesia sudah mula membuahkan hasil.
Lebih 15 hektar pokok bakau, iaitu seluas 21 padang bola, ditanam di daerah Banyuasin di Sumatera Selatan.
Projek yang dimulakan sekitar tiga tahun lalu itu merupakan kerjasama antara Yayasan Temasek, Pusat Penelitian Kehutanan Antarabangsa (CIFOR) dengan Pusat Penelitian Agroforestri Dunia (ICRAF).
Jambatan Ampera dilihat sebagai lambang ikonik kemakmuran Palembang – ibu kota bagi wilayah Sumatera Selatan. Ia merentangi sungai Musi, antara yang terpanjang di Indonesia.
Sekitar ratusan kilometer ke muaranya, di mana Sungai Musi bertemu laut, terdapat perkampungan Sungsang IV di daerah Banyuasin.
Dahulunya, pesisiran pantai ini dipenuhi hutan bakau tetapi ia kini terancam pupus ekoran pengembangan pertanian dan pembangunan prasarana.
Pada 2021, Yayasan Temasek dan rakan-rakan kongsi di Indonesia memulakan program pemulihan hutan bakau di Banyuasin.
Ia melibatkan masyarakat setempat dalam usaha memulihkan semula daerah itu serta meningkatkan kehidupan mereka.
Malangnya di peringkat awal, ramai yang teragak-agak untuk menyokong inisiatif itu.
"Mereka cuma tahu usaha dijalankan di dalam kawasan hutan. Dengan membuka kawasan hutan, hutan itu dibuka, cuma itu. Dibuka untuk menanam sawit, kelapa," ujar penghulu Kampung Sungsang IV, Romi Adi Candra.
"Namun pada waktu itu, kami dari pemerintah desa meyakinkan (ia) dapat digunakan untuk tempat tapak semaian. Alhamdulillah mereka melihat hasilnya. Satu hal yang luar biasa kerana UMKM di sini akhirnya hidup terus berkat hutan bakau kita di sini," tambah beliau.
Projek tersebut memberi masyarakat setempat dana untuk mulakan usaha tapak semaian bakau.
Penduduk kampung mengumpul propagul bakau seperti dari kawasan hutan dan membawa ke tapak semaian supaya ia dapat tumbuh lebih kuat dan lebih baik.
Propagul tumbuh dengan cepat dan boleh membesar 30 sentimeter dalam masa tiga bulan sahaja.
Hampir 40,000 benih ditanam di kawasan hutan bakau yang sudah seluas 15 hektar.
Benih yang disemai memiliki kadar kelangsungan hidup sebanyak 50 peratus dan para penyelidik yakin dapat meningkatkan daya tahannya.
Pengarah, CIFOR Indonesia, Prof Dr Herry Purnomo berkata, "Proses pembelajaran ini sangat penting. Saya tidak mahu menyebarkan idea bahawa kadar kehidupannya yang tinggi adalah keperluan, tetapi kegigihan berterusan untuk menanam bakau, kerana setiap keadaan akan berbeza, setiap tapak dan juga mutu, sumber, benih, penyakit dan perosak adalah berbeza."
TUAIAN SULUNG HASILKAN 240KG KETAM
Di kampung bersebelahan, Marga Sungsang, para penternak ketam kini menikmati hasil kerja keras mereka.
Ternakan tersebut berjaya menghasilkan 240 kilogram ketam semasa tuaian sulung mereka.
Awal tahun ini, penduduk setempat bergabung dengan program pemulihan hutan bakau yang membantu projek ternakan ketam, bercampur penanaman bakau berasaskan sistem akuakultur tradisional.
"Ya kerana kalau ada hutan bakau seperti ini, sumber makanannya banyak. Di paya bakau tempat pertama ia buat rumah," kata Naib Ketua, Kumpulan penternak ketam Kampung Marga Sungsang, Jumardi.
"Lubang-lubang itu biasanya di akar-akar pokok bakau. Jadi tempat dan makanan itu lebih banyak. Di sela-sela bakau, seperti ikan-ikan kalau air pasang, kan naik. Jadi dia lebih bagus, pertumbuhannya bagus."
HUTAN BAKAU PENTING TANGANI PERUBAHAN IKLIM
Hutan bakau memainkan peranan penting dalam usaha menangani perubahan iklim kerana ia menyerap jumlah karbon dioksida yang besar dan menyimpannya di dalam tanah.
Indonesia memiliki lebih tiga juta hektar hutan bakau, membentuk sekitar 20 peratus ekosistem bakau dunia.
Projek di Banyuasin merupakan satu daripada dua usaha pemulihan bakau yang dibiayai Yayasan Temasek di Sumatera Selatan.
"Yayasan Temasek gembira kerana dapat menyumbang dalam usaha yang berterusan ini. Saya rasa kita tidak boleh kata yang kita sudah berjaya kerana ini adalah satu usaha yang berjangka panjang dan harus kita sama-sama menggembleng tenaga untuk memastikan yang kita dapat memberi sokongan yang sepenuhnya," ulas Ketua Pembangunan Korporat Yayasan Temasek, Amrin Amin.
Pihak yayasan, tambah Encik Amrin, melihat isu perubahan iklim sebagai yang menjejas semua.
"Maka itu kita juga ada tanggungjawab bersama untuk memastikan yang kita menangani masalah ini bersama."
Projek pemulihan hutan bakau di Sumatera Selatan bakal berakhir pada hujung tahun ini.
Projek-projek sedemikian merupakan langkah kecil dalam menangani perubahan iklim, yang diharap dapat berakar dalam masyarakat dan kemudian diteruskan oleh generasi muda.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.