Skip to main content

Dunia

BERITA+: Indonesia sejauh ini cuma jana 10% potensi tenaga geoterma

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jan 2024 05:58PM Dikemas Kini : 14 Jan 2024 11:28PM
KAMOJANG: Syarikat geoterma terbesar Indonesia melahirkan minat mengeksport tenaga bersih sedang negara-negara serantau bersaing untuk meningkatkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui bagi mengekang perubahan iklim.

Tahukah anda bahawa Indonesia memiliki simpanan tenaga geoterma terbesar di dunia, dalam bentuk lebih 23 gigawatt kapasiti geoterma?

Namun, Mediacorp mendapati, negara itu setakat ini mampu menjana hanya 10 peratus daripada potensi tenaga tersebut, belum lagi untuk mengeksportnya.

SUMBER GEOTERMA

Indonesia terletak di Lingkaran Api, zon di mana terdapat antara gunung berapi paling aktif di dunia, serta sumber geoterma yang melimpah.

Di lereng Gunung Guntur - kebanggaan penduduk Garut di wilayah Jawa Barat - terdapat kawah Kamojang di mana sumber geoterma dijana menjadi bahan tenaga.

Penerokaan geoterma bermula di Kamojang hampir 100 tahun lalu pada tahun 1926. Telaga geoterma pertama digerudi di sana pada zaman penjajahan Belanda.

Selepas hampir satu abad, telaga tersebut masih mengeluarkan wap berterusan pada tekanan tinggi.
Related article image
Tenaga geoterma merupakan haba yang dihasilkan oleh inti bumi. Kehadiran batu-batu dan cecair panas di bawah tanah menciptakan takungan geoterma semula jadi.

Telaga dicipta dengan mengorek jauh ke bawah tanah untuk mencapai takungan cecair dan batu-batu panas.

Cecair disedut ke permukaan dari takungan bawah tanah dalam bentuk haba menerusi telaga yang dicipta.

Di permukaan, haba ditukar menjadi wap panas untuk menggerakkan alat turbin yang disambung ke penjana bagi menghasilkan kuasa elektrik.

Air yang didinginkan kemudian dipam semula ke bumi bagi mengekalkan takungan di bawah tanah.
Related article image
Loji tenaga geoterma Kamojang merupakan yang pertama seumpamanya di Indonesia dan diuruskan oleh ‘PT Pertamina Geothermal Energy’, sebuah perusahaan milik negara.

"Kelebihan dari geoterma adalah ia mampu beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Kita tidak terputus-putus," jelas Pengurus Operasi, PT Pertamina Geothermal Energy (Kamojang), Hanifah Bagus Sulistyardi.

"Contohnya kalau dibandingkan dengan kuasa suria, kalau PLTS, sehari mungkin hanya beroperasi sekian jam. Setelah malam, ia tidak dapat beroperasi."

USAHA HADAPI PELBAGAI RINTANGAN

Namun sektor geoterma perlukan modal yang besar dan syarikat berhadapan risiko pelaburan yang tinggi, terutama semasa fasa penerokaan dan penggerudian.

Ini kemudian meningkatkan harga elektrik yang dihasilkan menerusi kuasa geoterma.

Syarikat Pertamina Geothermal Energy mengendalikan enam loji geoterma di seluruh Indonesia yang mampu menjana 672 megawatt.

Ia merancang untuk meningkatkan kapasiti tersebut kepada 1 gigawatt dalam tempoh dua tahun.

Satu lagi cita-cita, untuk mengembangkan perniagaan menerusi eksport tenaga bersih.

Namun, rencana mengeksport tenaga geoterma ke luar negara mungkin memerlukan masa lebih lama.

Di bawah undang-undang Indonesia, loji-loji tenaga hanya boleh menjual bekalan elektrik kepada PT Perusahaan Listrik Negara (PLN), perusahaan tenaga milik negara.

"Kalau ke depan, permintaan elektrik kita itu juga akan meningkat. Tadi dikatakan kalau semakin negara maju, itu juga penggunaan yang meningkat. Jadi apakah boleh (eksport) atau tidak... nanti kita lihat," ulas Encik Yudo Dwinanda Priaad, selaku Ketua Pengarah, Tenaga yang boleh Diperbaharui Kementerian Sumber Tenaga & Galian (ESDM).

Yang jelas, tambah beliau, pemerintah selalu mendahulukan kepentingan dalam negeri, baru kita boleh eksport.

GEOTERMA KUNCI PENTING CAPAI PELEPASAN SIFAR BERSIH

Indonesia sasarkan pelepasan sifar bersih gas rumah hijau menjelang 2060.

Ia berharap, tenaga yang boleh diperbaharui akan membentuk 25 peratus daripada pelbagai bekalan pada 2025, untuk kurang bergantung kepada bahan bakar fosil.

Awal tahun lalu, Indonesia memeterai perjanjian untuk menyalurkan dua gigawatt tenaga suria ke Singapura melalui Batam.

Loji-loji geoterma dijangka membentuk salah satu tulang belakang bekalan tenaga yang boleh diperbaharui Indonesia.

Dengan begitu banyak simpanan tersedia di bawah tanah, syarikat-syarikat geoterma meluncur laju untuk memanfaatkan sumber tenaga tersebut, sekaligus membantu usaha mengekang kesan perubahan iklim.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita