BERITA+: 'Bawang tanpa air mata' - satu gimik atau ciptaan baru
'Menangis' semasa memotong bawang memang selalu terjadi bagi anda yang gemar memasak.

(Gambar: Instagram/suniononion)
BRITAIN: 'Menangis' semasa memotong bawang memang selalu terjadi bagi anda yang gemar memasak.
Namun bagi penduduk di Britain, 'derita' itu tidak akan lagi dialami.
Apakah sebabnya?
Bawang berjenama 'Sunions' kelihatan seperti bawang biasa, namun ia sebenarnya memiliki satu keunikan.
Tidak seperti jenis bawang yang lain, bawang 'Sunions' tidak akan membuat seseorang itu menangis ketika menghirisnya.
Maka itulah, bawang ini juga dikenali sebagai "bawang tanpa air mata".
'Sunions' mula dijual oleh peruncit Britain, Waitrose, sejak minggu lalu, empat tahun selepas ia diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat.
Bawang istimewa itu dihasilkan syarikat farmaseutikal terkemuka Bayer selepas proses kajian dan pengembangan yang dijalankan selama 24 tahun.
Malah, bawang itu juga tidak menjalani sebarang ubah suai genetik.
Ia ditanam di Sepanyol pada Julai tahun lalu dan disimpan agak lama bagi memastikan ia tidak menyebabkan mata berasa pedih.
'Sunions' dijangka tidak akan menguasai pasaran bawang, setidak-tidaknya buat masa ini, kerana ia hanya dijual di 100 cawangan Waitrose di merata Britain.
Harganya juga lebih mahal.
Satu pek 'Sunions', yang mengandungi tiga bawang, berharga AS$1.40 (S$1.90) iaitu tiga kali ganda lebih mahal berbanding harga bawang biasa.
Namun adakah ia benar-benar dapat menghentikan 'derita' memotong bawang atau adakah ia sekadar satu gimik?
Buat masa ini, hanya pembeli Britain sahaja yang dapat menjawabnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.