Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS beri amaran kepada Iran terhadap pelancaran roket

Amerika Syarikat pada Khamis (3 Jan) memberi amaran kepada Iran mengenai padah yang akan ditanggung oleh negara itu jika ia meneruskan rancangan untuk melancarkan tiga kenderaan ke angkasa lepas. Ini meskipun Tehran menafikan bahawa tindakan itu akan mencabuli ketetapan PBB.

Anggaran Waktu Membaca:
AS beri amaran kepada Iran terhadap pelancaran roket

Roket satelit Iran (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Jan 2019 11:02AM Dikemas Kini : 04 Jan 2019 11:06AM

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Khamis (3 Jan) memberi amaran kepada Iran mengenai padah yang akan ditanggung oleh negara itu jika ia meneruskan rancangan untuk melancarkan tiga kenderaan ke angkasa lepas. Dakwaan tersebut dibuat meskipun Tehran menafikan bahawa tindakan itu akan mencabuli ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo mengatakan bahawa ketiga-tiga roket yang membawa satelit Iran itu menggunakan teknologi yang "hampir serupa" dengan peluru berpandu balistik berkeupayaan nuklear, yang akhirnya boleh merangkumi peluru berpandu jarak jauh yang berupaya sampai ke Amerika Syarikat.

Encik Pompeo berkata bahawa pelancaran Iran itu akan mencabuli Resolusi 2231 Tahun 2015 Majlis Keselamatan PBB, yang menyokong perjanjian antarabangsa untuk menamatkan program nuklear negara itu dan menyeru Tehran supaya "jangan melakukan sebarang kegiatan berkaitan dengan peluru berpandu balistik yang direka untuk melancarkan senjata nuklear."

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada tahun lalu menarik diri daripada perjanjian Iran, yang dirundingkan oleh penyandang jawatan lalu, Barack Obama. Presiden Trump kemudian menguatkuasakan kembali sekatan menyeluruh terhadap Iran yang bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara itu.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif menafikan dakwaan Encik Pompeo, sambil berkata bahawa pelancaran roket mahupun ujian peluru berpandu - yang didakwa Iran adalah penting untuk tujuan pertahanan dan bukan nuklear - tidak mencabuli Resolusi 2231.

"Amerika Syarikat secara terang-terangan mencabuli resolusi tersebut, dan oleh itu ia tidak layak menyelar sesiapa pun," tulis beliau menerusi Twitter, merujuk kepada tindakan Amerika Syarikat yang menolak perjanjian pelucutan senjata nuklear yang disokong PBB.

Timbalan Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Ghasem Taghizadeh, berkata pada November bahawa Tehran akan melancarkan tiga satelit ke angkasa "dalam masa beberapa bulan mendatang."

"Satelit-satelit ini telah dibina dengan pengetahuan tempatan dan akan ditempatkan pada ketinggian yang berbeza," agensi berita ISNA menukil beliau sebagai berkata.

Iran melihat kepada potensi ekonomi dalam membangunkan program satelit, yang boleh membina sumber pendapatan yang diperlukan dan juga digunakan untuk pengintipan.

Namun agensi risikan Amerika Syarikat menegaskan bahawa teknologi itu boleh diubah dengan mudah menjadi peluru berpandu jarak jauh.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan