Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berhenti kerja demi jaga anak hidap barah otot

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah nasib pasangan suami isteri yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak tunggal mereka selepas disahkan menghidapi barah otot setahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Berhenti kerja demi jaga anak hidap barah otot

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 11:04AM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 11:09AM

BAGAN SERAI: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah nasib pasangan suami isteri yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak tunggal mereka selepas disahkan menghidapi barah otot setahun lepas.

Pasangan Encik Shahrul Asyraf Sharuddin, 31, dan isterinya Cik Syamimi Athirah Sanusi, 28, kedua-duanya berhenti kerja sejak sebulan lalu demi memastikan anak perempuan mereka yang berusia empat tahun Saffiya Aisyah dirawat dengan baik.

Encik Shahrul Asyraf terpaksa meninggalkan kerja di restoran makanan segera manakala isterinya berhenti daripada bekerja di sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang kerana terpaksa berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan kemoterapi.

Selain itu, anak kesayangan mereka juga perlu mengambil ujian darah dua kali sehari di klinik berhampiran dan kekangan masa memaksa mereka memutuskan untuk berhenti kerja.

“Anak saya disahkan menghidap kanser otot ketika berumur tiga tahun dan telah menjalani satu pembedahan membuang ketumbuhan sebesar bola golf pada paha sebelah kanan namun terdapat lagi ketumbuhan lain di pangkal paha.

"Sejak Ogos lepas, Safiyya Aisyah terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali dalam sebulan di Hospital Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Persatuan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dan Sahabat Parlimen Bagan Serai di Kampong Parit Haji Husin hari ini (28 Sep).

Untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga, Cik Syamimi Athirah kini menjual kuih dan nasi lemak di Pasar Awam Bagan Serai dengan pendapatan bersih RM50 (S$16) sehari yang digunakan untuk perbelanjaan harian, kos rawatan termasuk lampin pakai buang dan susu khas untuk anaknya.

Sementara itu, Pengerusi FOCCAN, Cik Maznah Taiyib berkata pihaknya memberikan bantuan awal seperti wang tunai dan peralatan seperti susu khas dan lampin pakai buang kepada keluarga berkenaan.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, setiap bulan FOCCAN menerima laporan mengenai peningkatan jumlah pesakit kira-kira 20 pesakit berbanding 15 sebelum ini dan menjadikan jumlah pesakit kanser di wilayah utara sebanyak 450 orang sejauh ini. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan