Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini: Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata persaingan kuasa besar dan gangguan asing yang berlegar di sekitar Timur Tengah merupakan satu lagi peringatan mengapa Malaysia dan ASEAN mesti sentiasa berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini: Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Lillian Suwanrumpha/AFP)

Diterbitkan : 23 Feb 2019 07:45PM Dikemas Kini : 23 Feb 2019 07:49PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata persaingan kuasa besar dan gangguan asing yang berlegar di sekitar Timur Tengah merupakan satu lagi peringatan mengapa Malaysia dan ASEAN mesti sentiasa berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini.

Beliau berkata jika Malaysia dan ASEAN tidak berhati-hati, nasib sama yang menimpa Timur Tengah boleh berlaku di rantau ini dengan natijah yang boleh diramal.

“Negara-negara di rantau ini akan dipaksa membeli senjata dalam jumlah yang banyak daripada kuasa besar untuk bertarung sesama sendiri yang mana keuntungan kuasa besar dan negara asing itu akan meningkat sementara ASEAN akan menjadi semakin lemah dan tidak stabil.

Kita sudah mula melihat benih konfrontasi dan persaingan di rantau kita. Talian sedang disediakan. Pangkalan sedang dibina. Armada sedang disiapkan. Tekanan supaya memihak sudah dilakukan," katanya dalam ucapan perasmian Simposium dan Pameran Gambar "Stand With Yemen" hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir berkata Malaysia akan bekerjasama dengan rakan-rakan di ASEAN untuk menaik taraf rangka kerja serantau yang sedia ada untuk memastikan rantau ini tidak memberi ruang campur tangan kuasa besar dan untuk memastikan persaingan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dengan China tidak membawa kepada keretakan di rantau ini.

"Malaysia sentiasa meletakkan harapan terhadap dasar berkecuali, bersikap terbuka dan mesra kepada semua negara. Kami tidak akan berpihak dalam persaingan kuasa besar dan tidak akan bergantung kepada pakatan ketenteraan atau perkongsian strategik.

Dasar ini sudah menjadi amalan Malaysia dan ASEAN dalam menghadapi tempoh getir persaingan kuasa besar pada masa lalu akan terus relevan sebagai rangka kerja keselamatan serantau.

Dr Mahathir berkata peringatan sewajarnya sudah diberikan kepada semua negara, jauh atau dekat, supaya menghormati dasar tidak campur tangan Malaysia serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri berkata ia merupakan peringatan tegas kepada semua bahawa perpaduan negara adalah merupakan asas keselamatan nasional.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan