Skip to main content

Dunia

Berbangsa Arab tapi warga Israel, identiti mereka terus dipersoal penduduk Yahudi

Mereka menggelarkan diri sebagai warga Palestin Israel iaitu orang Arab Palestin yang berkerakyatan dan memegang pasport Israel. 

Anggaran Waktu Membaca:
Berbangsa Arab tapi warga Israel, identiti mereka terus dipersoal penduduk Yahudi

Tentera Israel lepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penduduk Palestine pada 8 Mei (Gambar: Ahmad GHARABLI/AFP)

Diterbitkan : 14 May 2021 12:47AM Dikemas Kini : 14 May 2021 12:50AM

BAITULMAKDIS: Mereka menggelarkan diri sebagai warga Palestin Israel iaitu orang Arab Palestin yang berkerakyatan dan memegang pasport Israel. Tapi Israel pula menggelarkan mereka sebagai 'orang Arab'.

Krisis terbaru konflik Israel-Palestin sekarang ini kembali meletakkan perhatian kepada keturunan warga Palestin yang terus bertahan setelah negara Yahudi ditubuhkan.

Rungutan bertahun-tahun masyarakat minoriti itu sekali lagi disuarakan menyusuli krisis terbaru Israel-Palestin yang berlaku di Baitulmakdis sebelum ia mencetuskan rentetan insiden berbalas-balas serangan roket antara Israel dengan Carikan Gaza yang dikuasai Hamas.

Israel mempunyai sekitar 1.8 juta orang Arab - Muslim dan Kristian - mewakili 20 peratus penduduknya, menurut statistik rasmi.

Keturunan 160,000 warga Palestin yang masih kekal di tanah mereka itu selepas wilayah Yahudi dibentuk pada 1948, berhak untuk mengundi dan memegang 12 daripada 120 kerusi di parlimen.

Bagaimanapun, tiada parti Arab pernah menyertai pemerintah gabungan sejak Israel wujud.

Tidak seperti Yahudi, penduduk Arab Israel tidak melakukan perkhidmatan tentera.

Hanya 130,000 Druze, iaitu gerakan minoriti Islam Syiah, yang wajib mengikut undang-undang untuk berkhidmat tiga tahun di bawah bendera Israel.

Separuh daripada keluarga Arab Israel tinggal di bawah garisan kemiskinan, berbanding satu perlima keluarga Israel, menurut Rangkaian Hak Asasi Kemanusiaan Eropah-Mediterranean.

Kadar pengangguran bagi lelaki Arab Israel pula dua kali ganda berbanding lelaki Yahudi, manakala kadar bagi wanita Arab Israel adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita Yahudi.

Salah satu isu sensitif adalah tentang rampasan tanah di kawasan perbandaran Arab oleh pihak berkuasa Israel untuk menempatkan para imigran Yahudi dari merata dunia.

Bandar-bandar Arab Israel juga menerima dana awam yang sangat rendah untuk pembangunan berbanding kawasan perbandaran Yahudi dan permohonan baginya jarang diluluskan.

Dalam satu keputusan penting yang dikeluarkan pada bulan Julai 2000, Mahkamah Tinggi Israel mengakui bahawa minoriti Arab menjadi mangsa diskriminasi, terutama dari segi pekerjaan.

Konflik Israel-Palestin yang memuncak baru-baru ini sudah seperti merebak ke dalam Israel sendiri, dengan bandar-bandar yang mempunyai campuran penduduk Arab dan Yahudi menjadi tegang.

"Selama berdekad-dekad, kami menunjuk perasaan dengan laungan 'Palestin', 'Gaza', 'Al-Aqsa'. Buat pertama kali kami kini melaungkan 'Haifa'," menurut catatan Twittter Majd Kayyal, seorang aktivis Arab Israel di bandar pantai di kawasan utara.

"Haifa sedang bangkit melindungi dirinya dan mempertahankan Lod, Jaffa, Gaza dan Baitulmakdis: Ini adalah intifada perpaduan."

Di bandar perindustrian Lod, di mana Arab Israel merupakan 40 peratus daripada penduduknya, seorang bapa Arab Israel berusia 32 tahun ditembak mati minggu ini, dengan seorang nasionalis Yahudi menjadi suspeknya.

Minggu ini Israel berdepan dua konflik, rusuhan antara Arab dengan Yahudi di jalan-jalan rayanya sendiri serta insiden berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata Palestin di Gaza.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita