Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beras Adan asal Sarawak diharap dapat tembus pasaran domestik, antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Beras Adan asal Sarawak diharap dapat tembus pasaran domestik, antarabangsa

Gambar: Facebook/ Persatuan Lun Bawang Sarawak

BA'KELALAN: Ada pelbagai jenis beras yang dijual di pasaran dengan nama dan jenama yang unik.

Pernahkah anda dengar tentang jenis yang dipanggil beras Adan?

Para saintis percaya, beras asal kepulauan Borneo di Sarawak itu lebih berkhasiat dan bermanfaat khususnya bagi pesakit kencing manis.

Bagaimanapun, beras Adan sukar didapatkan di pasaran.

Kini, kaum Lun Bawang yang menetap di bandar Ba'kelalan, Sarawak, ingin memperkenalkan beras Adan kepada dunia dalam usaha untuk memperbaiki mata pencarian mereka.

Mentelah lagi, mereka baru-baru ini mendapat pensijilan identifikasi geografi (GI) bagi melindungi dan memasarkan beras itu dengan lebih baik.

ADA LEBIH 1,000 BERAS PUSAKA DI M'SIA; APAKAH KEUNIKAN BERAS ADAN?

Bandar Ba'kelalan terletak di tengah pulau Borneo dan berada hampir 1,000 meter atas paras air laut.

Pengunjung perlu menaiki pesawat kecil untuk ke sana.

Dalam pesta beras tahunan di bandar itu baru-baru ini, kaum etnik Lun Bawang menyambutnya dengan lebih istimewa selepas beras Adan akhirnya mendapat pengiktirafan persekutuan Malaysia.

Ini bermakna hanya penghasil di bandar Ba'kelalan mempunyai hak untuk menggunakan label GI yang mentauliahkan asal beras itu serta mutu, reputasi dan ciri-ciri terjamin.

Label itu amat membantu masyarakat pengeluar dan petani memandangkan terdapat lebih 1,000 beras pusaka di Malaysia.

Perkembangan berkenaan juga amat dialu-alukan para saintis kerana mereka merasakan sudah tiba masanya potensi dan manfaat beras Adan dikongsi secara meluas lagi.

Timbalan Pengarah Kajian Khazanah Research Dr Sarena Che Omar berkata: "Secara genetik, beras Adan sangat pelbagai dan berwarna-warni. Di peringkat biologi memang sangat berharga dan apabila anda mempunyai sesuatu yang amat berbeza, ada potensi untuk memasarkannya.

"Masanya juga sudah sesuai kerana kini pengguna lebih prihatin tentang pertanian organik, penjejakan, pertanian bertanggungjawab dan amalan-amalan pertanian yang baik."

BERAS ADAN ADA 3 JENIS; PENGHASILAN MASIH GUNA CARA TRADISIONAL

Para petani berkongsi bahawa beras Adan ada tiga jenis iaitu putih, merah dan hitam.

Setiap jenis mempunyai rasa dan tekstur yang berbeza dan jenis berwarna merah didapati mempunyai indeks glycemic lebih rendah.

Indeks glycemic rendah bermakna beras itu amat sesuai bagi pesakit kencing manis namun harganya lebih mahal berbanding jenis beras putih dan hitam.

Buat masa ini, beras Adan dijual pada harga sekitar AS$2 (S$2.65) sekilogram.

"Saya harap lebih ramai orang akan tahu tentang beras Ba'kelalan kami supaya boleh dijual pada harga lebih baik," kata seorang petani, Labu Tadam.

Bagi saintis seperti Dr Sarena, penting juga untuk mempunyai bank benih agar beras khas seperti beras Adan tidak hilang keaslian suatu hari nanti.

Lebih-lebih lagi, benih yang lama mempunyai kadar percambahan yang tinggi dan boleh bertumbuh di mana-mana tanah mahupun tempat.

Kebanyakan petani di Ba'kelalan seperti Encik Labu masih menggunakan cara tradisional untuk bertani yang tidak bergantung kepada baja atau ubat serangga komersil.

Ada segelintir juga masih mengamalkan cara turun temurun seperti percaya kepada kuasa alam semula jadi semasa musim menuai.

Padi beras Adan juga hanya dituai setahun sekali pada bulan Disember dan musim mencucuk tanam bermula pada Julai atau Ogos.

Meskipun cara pertanian moden sudah diperkenalkan kepada mereka, kadar pendapatan yang rendah dan profil petani yang semakin menua kekal menjadi cabaran.

"Anak muda sekarang ini tidak suka bekerja di sawah padi seperti generasi tua seperti saya," kongsi Rinai Gugkang.

Selain usaha menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian, para petani berharap sekatan terhadap pergerakan beras juga boleh ditarik balik demi membolehkan beras Adan akhirnya dapat dieksport secara bebas sebagai produk beras premium kepada dunia.
Sumber : CNA/RU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan