Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berani kerana benar: Parti Liyani harap pembebasannya beri ilham kepada pekerja asing lain

Setelah pulang ke kampung halamannya di Indonesia, mantan pembantu rumah asing Parti Liyani berkata yang beliau berharap pembebasannya dapat memberi inspirasi kepada pekerja asing lain yang menghadapi masalah undang-undang supaya tidak berputus asa jika mereka tidak bersalah.

Anggaran Waktu Membaca:
Berani kerana benar: Parti Liyani harap pembebasannya beri ilham kepada pekerja asing lain

Cik Parti Liyani di kampung halamannya (Gambar: Kiki Seregar)

Diterbitkan : 05 Feb 2021 11:04PM Dikemas Kini : 05 Feb 2021 11:12PM

NGANJUK, Jawa Timur: Setelah pulang ke kampung halamannya di Indonesia, mantan pembantu rumah asing Parti Liyani berkata yang beliau berharap pembebasannya dapat memberi inspirasi kepada pekerja asing lain yang menghadapi masalah undang-undang supaya tidak berputus asa jika mereka tidak bersalah.

Cik Parti, yang bekerja untuk bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong, dituduh mencuri daripada keluarga bekas majikannya dan pada mulanya disabitkan kesalahan pada 2019 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas semua tuduhan mencuri tahun lalu.

"Sekiranya anda tidak bersalah, anda harus bela diri dan terus berjuang. Jangan berputus asa," kata wanita 46 tahun itu kepada Mediacorp di rumah keluarganya di wilayah Jawa Timur pada Rabu (3 Februari).

"Jangan fikir kerana anda mempunyai keluarga (untuk disara), anda harus menyerah kalah. Jangan jadi seperti itu. Harap-harap, tidak ada kes seperti ini lagi di Singapura, " katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak kesal dengan apa yang berlaku.

Cik Parti dibebaskan daripada semua tuduhan pada September tahun lalu tetapi hanya pulang ke Indonesia pada 27 Januari.

Satu tribunal disiplin dibentuk untuk menilai sama ada berlaku salah laku oleh pihak pendakwa dalam mengendalikan perbicaraan tersebut. Cik Parti dijangka kembali ke Singapura bagi prosiding yang sedang berlangsung.

Cik Parti berkata beliau gembira dapat bertemu semula dengan keluarganya walaupun belum dapat memeluk sesiapa pun, kerana menjaga jarak selamat COVID-19 sehingga akhir tempoh 14 hari setelah tiba di Indonesia.

"Rasanya seperti mimpi ... Saya sangat gembira dapat pulang ke Indonesia dan bertemu keluarga."

"SAYA PALING RINDUKAN IBU"

Cik Parti sudah empat tahun tidak pulang ke Indonesia. Dengan berlinang air mata, beliau berkata: “Saya paling rindukan ibu saya. Saya juga merindui yang lain, tetapi tidak seperti saya merindui ibu. "

Semasa kesnya masih dibicarakan, beliau menelefon ibunya sebulan sekali tetapi merahsiakan keadaan kerana tidak mahu ibunya risau.

Anak keenam dari sembilan beradik, Cik Parti memberitahu adik-beradiknya bahawa beliau mempunyai masalah, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.

Beliau hanya mendedahkan gambaran penuh setelah dibebaskan dari tuduhan dan keluarganya melihat berita itu di televisyen tempatan.

Cik Parti Liyani bersama ibunya (Gambar: Kiki Siregar)

(Gambar: Kiki Siregar/Mediacorp)

Setelah mengetahui tentang apa yang dilalui Cik Parti, ibunya terus bertanya mengapa beliau masih di luar negeri jika bebas, kata Cik Parti.

Ketika Mediacorp bertemu dengan Ibu Kasmi, wanita itu berkata bahawa beliau gembira kerana anak perempuannya sudah pulang.

Cik Parti berkata beliau tidak mahu bekerja di luar negara lagi. Beliau merancang untuk menghabiskan hari-harinya menjaga ibunya, dan mungkin membuka gerai makan di depan rumahnya.

BANTU PEKERJA ASING LAIN SEMASA PERBICARAAN

Cik Parti telah bekerja dengan keluarga Encik Liew Mun Leong dari 2007 hingga 28 Oktober 2016, apabila beliau diberhentikan secara mengejut.

Cik Parti memberitahu CNA bahawa hubungannya dengan keluarga itu pada awalnya mesra. Beliau berkata beliau jarang berbual dengan Encik Liew kerana lelaki itu jarang berada di rumah.

Namun suatu hari, ada perselisihan kerana beliau diarah untuk membersihkan rumah Encik Karl Liew, pada 2016, kata Cik Parti.

Setelah diberhentikan, Cik Parti memutuskan untuk kembali ke Singapura untuk mencari kerja, tetapi terkejut apabila beliau ditangkap di Lapangan Terbang Changi semasa tiba pada 2 Disember 2016 dan dituduh mencuri dari keluarga Liew.

Semasa perbicaraan, penduduk asal Jawa Timur itu banyak dibantu oleh Badan Kemanusiaan untuk Ekonomi Migrasi (HOME). NGO itu membantunya mendapatkan seorang penterjemah dan menanggung semua perbelanjaannya kerana beliau tidak dapat bekerja setelah ditangkap.

"Saya tinggal di rumah perlindungan dan diberi elaun untuk keperluan peribadi. Segala-galanya disediakan oleh HOME selama empat tahun dan sehingga saya berangkat pada 27 Jan; mereka juga menemani saya ke lapangan terbang,” kata Cik Parti.

Terdapat pekerja asing lain di tempat perlindungan HOME yang juga menghadapi masalah dan Cik Parti menghabiskan masanya untuk menolong mereka. Kata beliau, menolong mereka membantu dirinya sendiri mengharungi masa-masa sukar.

Selain HOME, kedutaan Indonesia juga secara berkala menanyakan keadaannya dan seorang wakil hadir semasa perbicaraan.

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI MENGEJUTKAN

Semasa perbicaraan, Cik Parti pada awalnya ragu-ragu sama ada beliau akan menang. Namun beliau bertekad untuk tidak menyerah kalah, berbekalkan keyakinan bahawa beliau tidak mencuri.

Setelah kesnya sampai di Mahkamah Tinggi, beliau mula menaruh harapan untuk menang.

Apabila keputusan dibacakan di Mahkamah Tinggi, beliau tidak menyedari apa yang berlaku ketika berada di bilik berasingan tanpa peguam atau kakitangan HOME.

“Ketika saya meninggalkan bilik, mereka mengucapkan tahniah. Dan saya bertanya: 'Mengapa?'

"Mereka memberitahu saya bahawa saya menang ... dan kami semua mula menangis kegembiraan. Saya tidak boleh mempercayainya. "

Memandang ke hadapan, beliau berharap apa yang menimpanya dapat menjadi pembuka mata kepada para majikan.

“Mudah-mudahan, setelah kes saya itu, majikan Singapura tidak akan menuduh pembantu rumah mereka dengan sewenang-wenangnya. Walaupun mereka pembantu rumah, jangan memandang rendah terhadap mereka,”ujarnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan