Skip to main content

Dunia

Bencana tsunami 21 tahun lalu pemangkin perdamaian kekal di Aceh

Anggaran Waktu Membaca:
Bencana tsunami 21 tahun lalu pemangkin perdamaian kekal di Aceh
Gambar Fail Aceh. (Gambar: REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana)
Diterbitkan : 27 Dec 2025 09:30AM Dikemas Kini : 27 Dec 2025 09:33AM
KUALA LUMPUR: "Mungkin Tsunami di satu sisi adalah bencana, namun, di satu sisi lain adalah sebuah keberkahan untuk menyelesaikan konflik,” kata Azhari Abdul Ghani ketika ditemui pada September lalu di Banda Aceh.

Beliau yang juga pengasas badan persatuan filem Aceh Documentary senada dengan masyarakat kebanyakan yang menganggap tragedi Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 adalah pemangkin kepada perdamaian antara wilayah Aceh dan Pemerintah Republik Indonesia, seperti dipetik dari Astro AWANI.

Umum mengetahui bahawa wilayah Serambi Mekah itu melalui tempoh konfrontasi dengan pemerintah Pusat sejak 4 Disember 1976, apabila Hasan di Tiro mengisytiharkan kemerdekaan Aceh, sekali gus membawa kepada penubuhan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang berhadapan dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Encik Azhari berkata konflik empat dekad itu menyebabkan pelbagai isu pelanggaran hak asasi manusia berlaku dan masyarakat awam turut menjadi korban akibat pertembungan antara kedua-dua pihak.

“Kita tidak tahu mungkin ada orang yang sedang disiksa dan kemudian dia berdoa, tuhan memakbulkan doanya dengan tragedi Tsunami agar penderitaannya berakhir semuanya,” kata Encik Azhari.

Penyelaras Suruhanjaya Kes Kehilangan Paksa dan Mangsa Keganasan (KontraS), Azharul Husna berkata data Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi (KKR) Aceh merekodkan lebih 6,000 testimoni berkaitan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia melibatkan pembunuhan, penyeksaan dan penculikan.

Menurut Husna, tragedi tsunami membuka gerbang antarabangsa untuk memberi bantuan kepada ratusan ribu mangsa dan 'mengintai' hal-hal yang terbungkam akibat konflik.

“Dapat dikatakan tsunami adalah pemangkin kepada perdamaian, saat itu organisasi antarabangsa melihat ada banyak persoalan mendesak terhadap pemerintah Indonesia untuk berbincang dalam hal penyelesaian konflik di Aceh,” katanya.

Bagi M. Nur Djuli, salah seorang perunding GAM di Helsinki berkata, usaha merintis jalan ke arah rundingan perdamaian sebenarnya telah bermula melalui beberapa peringkat sebelum tragedi itu berlaku, seperti dinukil dari Astro AWANI.

Namun kerana bencana tsunami, menyebabkan semua pihak sama ada dari Aceh atau pemerintah Ppusat terus bersiap untuk mempercepat proses perdamaian.

“Ketika peristiwa itu berlaku saya di Kuala Lumpur, saya segera menghubungi wakil GAM iaitu Malik Mahmud (Wali Nanggroe ke-9) di Sweden.

“Saya katakan ‘adakah kita masih nak bicara soal politik sedangkan ratusan ribu, ibu dan ayah kita semua telah hilang’ jadi tidak manusiawi…ketika Tsunami, apa pun, kita harus capai perdamaian,” katanya.

Hasil daripada perdamaian di Helsinki pada 15 Ogos 2005 iaitu setahun selepas tragedi Tsunami menyebabkan gencatan senjata kekal dapat dilaksanakan sehingga kini.

Namun paling penting, masyarakat Aceh dapat ‘bernafas’ kembali untuk meneroka sumber alamnya agar dapat dimanfaatkan untuk peluang ekonomi sama ada di peringkat domestik dan global.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita