Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Benarkah parti Bhumjaithai 'kingmaker' tubuh kerajaan selepas pilihan raya Thailand 14 Mei?

Anggaran Waktu Membaca:
Benarkah parti Bhumjaithai 'kingmaker' tubuh kerajaan selepas pilihan raya Thailand 14 Mei?

Ketua parti Bhumjaithai Anutin Charnvirakul sewaktu berkempen di Bangkok. (Gambar: Sakchai Lalit/AP)

KRABI: Tiada satu pun parti politik  dijangka memenangi kerusi yang mencukupi pada pilihan raya Thailand 14 Mei ini untuk membentuk kerajaan tanpa gabungan, tetapi satu parti boleh memegang kunci kepada penentu pembentukan kerajaan, menurut pemerhati.

Parti Bhumjaithai, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap  Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul, dilihat oleh pengundi sebagai sangat berkebolehan dan cukup sederhana.

Parti yang diasaskan pada 2008 itu berjaya menarik kira-kira 40 Anggota Parlimen (AP) daripada parti lain - bilangan terbesar AP yang melompat parti politik.

JANJI KEMPEN

"Parti Bhumjaithai adalah parti yang telah mengotakan setiap janji kepada rakyat seperti yang dijanjikan," kata Encik Anutin kepada Mediacorp di satu rapat pilihan raya baru-baru ini.

Pencapaian utama parti itu ialah meluluskan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan di Thailand, menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang berbuat demikian.

Ia adalah ikrar yang dibuat oleh Encik Anutin sendiri semasa kempen pilihan raya 2019.

Namun, dasar itu tetap menimbulkan kontroversi, dengan penentang politik dan pengkritik menyalahkan Bhumjaithai kerana peraturan yang tidak mencukupi di tengah-tengah laporan ganja juga digunakan secara terbuka untuk tujuan rekreasi.

Encik Anutin telah mempertahankan dasar itu, dan sebaliknya menyalahkan kegagalan parlimen meluluskan Rang Undang-undang yang diperlukan bagi penggunaan tidak terkawal.

Parti beliau terus menyokong kegunaan ganja bagi perubatan dan sebagai rangsangan ekonomi.

Mengenai sama ada Bhumjaithai diancam oleh kemungkinan gelombang sokongan seluruh negara kepada parti pembangkang terbesar Thailand, Pheu Thai, Encik Anutin memberitahu Mediacorp bahawa beliau memberi tumpuan untuk mengukuhkan partinya.

Pilihan raya Thailand pada 14 Mei ini digambarkan sebagai pertandingan antara konservatif pro-tentera dan pembangkang populis yang diketuai parti Pheu Thai dan sekutunya, parti Move Forward.

Dua kerajaan yang disokong Pheu Thai sebelum ini telah digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2006 dan 2014.

Lantaran itu, Pheu Thai menggesa pengundi supaya memberikan mereka kemenangan besar pada pilihan raya akan datang, kerana mahu membentuk kerajaan tanpa memerlukan gabungan.

Bagi pilihan raya kali ini, Bhumjaithai  melancarkan janji kempen baru, termasuk insurans hayat untuk rakyat berusia 60 tahun dan ke atas serta mewujudkan 10 juta pekerjaan baru dalam sektor pelancongan.

“Dasar kami semuanya boleh dilakukan. Kami tidak menjual impian, kami menjual realiti. Kami tidak mempunyai dasar yang hanya memberi wang kepada rakyat. Kami tidak mempunyai wang yang cukup (dan) negara tidak akan mempunyai wang yang mencukupi untuk diberikan begitu sahaja,” kata Encik Anutin.

“Tetapi kami mencipta peluang. Kami biarkan penduduk bekerja  dan beri mereka subsidi. Kemudian kami pastikan  faedah yang akan mereka terima pada masa hadapan. Kami tidak memberikan wang secara langsung, tetapi kami memberi mereka masa depan yang cerah.”

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan