Belum sesuai adakan PRU15 dalam masa terdekat, kata Dr Mahathir
Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, mengulangi pendiriannya bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia masih belum sesuai diadakan dalam masa terdekat walaupun jumlah kes harian jangkitan COVID-19 dilihat semakin terkawal ketika ini.
LANGKAWI: Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, mengulangi pendiriannya bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia masih belum sesuai diadakan dalam masa terdekat walaupun jumlah kes harian jangkitan COVID-19 dilihat semakin terkawal ketika ini.
Menurut beliau, langkah berjaga-jaga perlu terus diambil bagi mengelakkan pandemik itu kembali menular sehingga meningkatkan kembali jumlah kes jangkitan di Malaysia.
"Kita harus berjaga-jaga. Kita harus ingat apa berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Pada masa itu, jumlah kes (COVID-19 di negara ini) rendah tapi bila diadakan PRN Sabah, ia menyebabkan berkembang penyakit ini.
"Kes COVID-19 (kini dilihat) berkurangan tetapi kita perlu jaga juga, macam pakai pelitup muka itu perlu diteruskan dan tidak berkumpul terlalu dekat. Jika tidak, angka itu (jumlah kes) akan meningkat semula," katanya ketika ditemui wartawan di majlis jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Langkawi hari ini (16 Mei).
Mantan perdana menteri itu diminta mengulas sama ada PRU15 sesuai diadakan dalam masa terdekat berikutan kes harian jangkitan COVID-19 di negara tersebut semakin terkawal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan jumlah terkumpul kes COVID-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dititikberatkan bagi mengelakkan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di Malaysia, selain risiko serangan varian baru pandemik itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.