"Belum pernah kami lihat keadaan seperti ini": Kakitangan perubatan UAE tentang kecederaan penduduk Gaza
Anggaran Waktu Membaca:

Pesawat Etihad Airway dijadikan "hospital udara" bagi pesakit Gaza yang dipindahkan dari Al-Arish di Mesir ke Abu Dhabi bagi mendapatkan rawatan. (Gambar Arab News: Mohammed Fawzy)
ABU DHABI: Tiada apa yang dapat mempersiapkan jururawat pediatrik Palestin, Etimad Hassouna, bagi apa yang beliau nampak dengan mata kepalanya sendiri sedang beliau membantu kanak-kanak Palestin yang cedera, yang dipindahkan dari Gaza oleh misi Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Cik Etimad adalah antara pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 30 karyawan perubatan dari Hospital Burjeel UAE, Hospital NMC Royal dan Sheikh Khalifa Medical City, lapor Arab News.
Pasukan itu bekerja tanpa mengenal erti lelah untuk membantu para pesakit yang menjadi mangsa perang, dalam misi pemindahan mencabar dan tidak menentu yang berlarutan sehingga 24 jam.
Di dalam pesawat Etihad Airways yang membawa 12 warga Palestin yang cedera dan keluarga mereka pada Jumaat (1 Dis) menyusuli serangan dahsyat sebaik sahaja perang disambung semula, Cik Etimad memberitahu Arab News bahawa kecederaan yang dialami para penduduk Gaza "tidak seperti apa yang pernah saya lihat sebelum ini" sepanjang kerjayanya selama 22 tahun.
"Saya lihat kes kanak-kanak yang mengalami kelecuran teruk, cedera dan retak tulang pada tahap yang tidak pernah saya saksikan sepanjang kerjaya saya di jabatan kecemasan, wad pembedahan dan pediatrik. Kebanyakan pesakit yang dikeluarkan dari bawah runtuhan kini menjadi kurang upaya seumur hidup mereka," kata Cik Etimad yang berasal dari Palestin.
Cik Etimad bekerja dengan rakan-rakan sekerja dari latar belakang kepakaran yang berbeza untuk memastikan pesakit yang dipindahkan kekal dalam keadaan stabil dalam "hospital udara" dari Al-Arish Mesir sehingga mereka mendarat di Abu Dhabi bagi mendapatkan rawatan lanjut, lapor Arab News.
Walaupun keadaan tidak menentu membuat pasukan itu bersiap siaga dari segi logistik bagi semua kes dan untuk bertindak segera, Cik Etimad berkata tahap penderitaan yang dialami itu tetap sukar untuk dilihat.
"Perasaan bercampur baur antara sedih, melihat kanak-kanak tidak bersalah menderita seteruk ini, dengan gembira, kerana berpeluang untuk membantu menyelamatkan mereka. Sumbangan kecil ini membuat saya rasa saya sedang menyumbang kembali (kepada masyarakat), memandangkan kita semua berasa agak tidak berdaya," kata Cik Etimad yang meninggalkan Gaza 30 tahun lalu.
Ditanya bagaimana beliau berdepan dengan keadaan merawat kes-kes teruk yang datang dari tanah air beliau sendiri, Cik Etimad berkata "kepercayaan dan harapan" membantu beliau.
"Sebab kita mengikuti misi seperti ini adalah sama dengan sebab kita terus mengharunginya, lebih-lebih lagi apabila kita membantu kanak-kanak," kata beliau, seperti dipetik Arab News.
Cik Etimad yang saudara-mara beliau sudah kehilangan tempat tinggal di Gaza dan kini hidup dalam keadaan teruk, berkata: "Tidak mudah, tetapi saya perlu kuat untuk wanita, kanak-kanak dan pesakit."
Sebahagian rakan sekerja Cik Etimad yang bertungkus lumus untuk memenuhi sasaran UAE memindahkan 2,000 kanak-kanak Palestin yang cedera serta pesakit barah, berpengalaman bertugas di zon-zon perang.
Sekalipun demikian, Sabreen Tawalbeh, seorang pengurus kejururawatan warga Jordan di Pusat Perubatan Burjeel di Abu Dhabi berkata, pasukan itu menyaksikan kecederaan yang jauh lebih teruk berbanding mana-mana konflik di Gaza sebelum ini.
Meskipun Cik Sabreen berkhidmat sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan di Gaza semasa perang 2014, beliau berkata kelecuran dan kecederaan pada tubuh kanak-kanak akibat pengeboman Israel sejak 7 Oktober, jauh lebih dahsyat.
"Saya menerima seorang anak kecil berusia dua tahun yang seluruh bahagian bawah tubuhnya mengalami kelecuran. Kanak-kanak yang saya kendalikan mengalami kecacatan serius," kata Cik Sabreen, yang mengikuti misi UAE ini buat kali ketiga.
Selain jagaan perubatan, para pesakit yang tiba dengan trauma dan kejutan teruk memerlukan pendekatan yang berasaskan harapan.
"Penting semasa proses memindahkan (pesakit) untuk membuat mereka berasa selamat, memandangkan mereka sedang berpindah ke tempat baharu yang jauh dari tempat tinggal yang tidak pernah mereka tinggalkan, apatah lagi sedang mereka mengalami kesan-kesan trauma."
Cik Sabreen menambah: "Kami perlu memberikan mereka harapan bahawa keadaan yang dialami ini hanya sementara; bahawa satu hari nanti mereka akan kembali ke tanah air mereka dengan lebih kuat dan setelah pulih sepenuhnya."
Karyawan perubatan itu, yang pernah menguruskan mangsa perang Libya, Afghanistan dan Congo, berkata beliau tidak akan lupa tentang seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang menemani dua sepupunya, iaitu budak lelaki 7 tahun yang tempurung kepalanya retak dan seorang anak kecil berusia 2 tahun. Keluarga kedua-dua budak 7 tahun dan 2 tahun itu sudah terkorban.
"Saya melihat seorang kanak-kanak menjadi wira. Dia (menjadi) seorang lelaki yang mungkin tidak dapat menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak," kata Cik Sabreen.
"Selepas berkhidmat dalam bidang ini setelah sekian lama, saya rasa saya dipilih untuk misi ini, dan saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada mereka yang membantu orang."
SENTIASA PERTINGKAT MISI
Para doktor dan jururawat UAE tidak mengetahui terlebih dahulu kes-kes yang akan mereka terima. Lantaran itu, ia membolehkan mereka mengikuti perancangan fleksibel sepanjang misi tersebut.
Mereka mesti bersiap siaga dengan semua jenis peralatan dan pengkhususan.
Untuk meningkatkan ketersediaan mereka pada masa akan datang, kakitangan perubatan sentiasa belajar daripada cabaran-cabaran setiap misi dan menyasarkan untuk memperbaikinya bagi misi selanjutnya.
Semasa proses pemindahan pertama, contohnya, pasukan itu berdepan kesukaran untuk memindahkan seorang pesakit dengan kecederaan saraf tunjang ke dalam pesawat disebabkan kurangnya peralatan untuk mengelak leher beliau daripada bergerak.
Satu lagi misi menerima jumlah pesakit yang jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan.
"Setiap misi, kami belajar sesuatu yang baharu," kata Cik Sabreen, seperti dilaporkan Arab News.
Kenneth Charles Dittrich, seorang konsultan perubatan kecemasan dari SKMC, berkata pasukannya terdiri daripada pakar anestesia, pakar teknologi pernafasan, penolong pentadbiran untuk membantu mengenal pasti individu, dan empat jururawat untuk bersedia dengan pelan luar jangka untuk menerima pesakit pelbagai lapisan usia.
"Pesakit yang dipindahkan melalui pelbagai pemeriksaan di sempadan yang berbeza. Pada waktu itu, keadaan individu yang stabil boleh berubah dan untuk menangani keadaan perubatan yang berubah-ubah kami perlu sentiasa bersiap sedia dan memainkan peranan yang berbeza-beza."
Kakitangan juga bekerjasama dengan para pegawai perubatan di lapangan yang dikerahkan ke Rafah dan Al-Arish, serta paramedik Mesir, yang menyediakan penilaian awal para pesakit dan memberikan senarai kes seterusnya.
Sebaik sahaja pesakit diterima, para karyawan perubatan UAE menjalankan penilaian semula dan melakarkan pelan rawatan untuk dilakukan dalam pesawat.
Mereka juga bekerjasama dengan pihak berkuasa UAE untuk menghantar pesakit ke hospital-hospital pakar yang berbeza di merata negara.
Pasukan misi UAE itu termasuk karyawan daripada pelbagai kerakyatan dan ini menunjukkan perpaduan mereka dalam menyokong misi kemanusiaan, lapor Arab News.
Encik Dittrich yang tidak asing lagi dalam operasi di zon-zon perang yang mencabar sepanjang kerjayanya selama 42 tahun, berkata beliau belajar menetapkan batasan semasa bekerja tetapi membenarkan dirinya memproses emosi tekanan kemudian.
Beliau berkata aspek utama tugas beliau adalah untuk "kekal sebagai individu berperikemanusiaan", sambil menambah: "Ia boleh menjejas fikiran dan emosi apabila memikirkan orang awam cuba menyelamatkan diri daripada kematian dan menyedari apa yang terpaksa mereka tinggalkan.
"Perkara pertama kami akan lakukan adalah memberikan mereka makanan dan minuman selepas perjalanan jauh yang dibelenggu emosi dan tekanan serta trauma.
"Kami berada dalam kedudukan yang boleh membantu dan ini sentiasa menjadi satu aspek positif."
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.