Belum ada bukti haiwan mana penyebab tercetus COVID-19, kata mantan ketua CDC China

Shanghai menutup sempadannya sejak April lalu. (Gambar: Hector RETAMAL AFP/File)
LONDON: Belum ada bukti lagi setakat ini yang menunjukkan haiwan mana menjadi punca kepada virus yang menyebabkan COVID-19, menurut mantan ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China pada Jumaat (14 Apr).
Encik George Gao, yang berucap sewaktu sidang puncak di London mengenai persiapan bagi pandemik, menggalas tanggungjawab sebagai ketua agensi berkenaan apabila COVID-19 pertama kali muncul di Wuhan, China pada hujung tahun 2019.
"Malah hingga sekarang, orang ramai berpendapat sesetengah haiwan adalah pembawa atau sumber penyakit itu," ujar Encik Gao.
"Pendek kata, tiada bukti yang menunjukkan haiwan mana yang menyebabkan virus tersebut."
Asal usul pandemik COVID-19 masih kekal tidak diketahui, dengan kritikan bahawa China menghalang usaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. Pemerintah China menyatakan ia selama ini menyokong semua usaha untuk menyiasat sumber virus itu, lapor Reuters.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan semua hipotesis berhubung asal usul COVID-19 masih kekal terbuka, termasuk bahawa virus itu terkait dengan makmal keselamatan tinggi bagi kajian patogen berbahaya di Wuhan.
China bagaimanapun menafikannya.
WHO juga menyatakan bahawa bukti setakat ini menyarankan virus itu datang daripada haiwan, berkemungkinan kelawar.
Data daripada fasa awal pandemik dimuat naik ke pangkalan data global oleh para saintis China bulan lalu.
Ia termasuk urutan genetik yang ditemui pada lebih 1,000 sampel haiwan dan persekitaran, yang diambil pada Januari 2020 di pasar makanan laut Huanan di Wuhan.
Data itu menunjukkan bahawa DNA daripada beberapa spesis haiwan - termasuk anjing rakun - dikesan pada sampel persekitaran yang diuji positif bagi SARS-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan COVID-19. Ini mencadangkan bahawa haiwan tersebut "paling berkemungkinan pembawa" virus itu, menurut sebuah pasukan penyelidik antarabangsa.
Semasa berucap di Sidang Puncak Dasar Rhodes, Encik Gao turut berkata dunia perlu berpadu tenaga untuk menangani penularan penyakit pada masa depan. Ini termasuk beberapa unsur persaingan, katanya, tetapi juga perhubungan untuk memerangi salah maklumat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.