Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Belia Langkawi belum sedia pilih parti PRU15 M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
LANGKAWI: Sokongan golongan belia di Langkawi terhadap parti-parti politik didapati cukup pelbagai dan bercampur-campur.

Walaupun mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad bertanding di Langkawi, persaingan lima penjuru di pulau itu mungkin tetap sengit bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Secara keseluruhan, 60,000 warga Langkawi layak mengundi kali ini berbanding kira-kira 40,000 pada 2018.
Antara meraka ialah Muhd Farhan, 18 tahun, yang juga adalah pengundi kali pertama dalam PRU15.
Namun demikian, Farhan memberitahu BERITAmediacorp, kalau ikut kecenderungan ibu bapanya, beliau tahu siapa yang harus dipilihnya nanti.

"Kalau saya, saya ikut kepada ibu bapa saya. Kalau saya ikut itu, saya pun jadi macam ayah saya. Jadi macam semangat nak mengundi Tun M," katanya.

Beberapa belia lain yang ditemu BERITA juga berkongsi sentimen serupa iaitu untuk mengundi ikut legasi.

Mereka berasa mantan Dr Mahathir Mohamad wajar diberi peluang untuk sekali lagi memimpin Langkawi.

"Selama beliau memerintah Malaysia 22 tahun yang lalu memang beliau yang banyak naikkan nama Langkawi," kata seorang anak jati Langkawi, Norazlina Zainon.

CALON PELBAGAI ADA JUGA MEMBAWA KESAN

Dalam PRU15 kali ini, ada kira-kira 20,000 pengundi baru ekoran penyertaan pengundi muda bawah usia 21 tahun yang layak mengundi.

Sikap pengundi muda yang secara amnya lebih terbuka bermakna kemenangan Dr Mahathir belum lagi suatu kepastian.

"Beliau seorang macam VVIP, sukar sikit mungkin untuk pengundi muda dan penduduk muda macam kami nak mendekati beliau," ujar Md Fadli Che Isa.

"Saya ingin menyokong Perikatan Nasional sebab saya lihat mereka boleh bawa Langkawi ini lebih ke depan," kata seorang lagi pengundi kali pertama, Muhd Amir Akhbar.

STRATEGI PARTI-PARTI BERTANDING

Sentimen berbeza-beza itu membuatkan semua calon di Langkawi lebih rancak mendekati golongan belia.

Ini sekali gus menjadikan persaingan yang dihadapi tokoh politik berusia 97 tahun itu lebih sengit lagi.
Lantaran itu, parti Pejuang mengambil pendekatan meningkatkan sayap jentera muda parti tersebut bagi terus mendekati anak-anak muda Langkawi.

Anggota Majlis Eksekutif Pusat Pejuang Abu Bakar Yahya berkata: "Kami membawa generasi muda kami yang ramai ini untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka di Pulau Langkawi ini. Saya yakin penerimaan anak-anak muda di Langkawi ini setelah kami memperjelaskan satu persatu, mereka sudah sangat faham.

"Saya yakin dan percaya dengan muka-muka anak muda yang ada ini mereka dapat menawan para pengundi muda untuk keluar mengundi dan menyokong parti Pejuang."

Barisan Nasional juga mengadakan satu siri sembang santai dengan beberapa golongan belia di merata Langkawi bersama calonnya Armishah Siraj.
"Saya perlu berikan tumpuan kepada anak-anak muda ini untuk meraih undi dan dalam proses saya mendapatkan undi ini saya perlu tunjuk dan beri keyakinan kepada anak muda kenapa mereka perlu memilih saya. Itu yang paling penting," ujar Encik Armishah.

Pendekatan sedemikian dijangka akan terus dilaksanakan sehingga malam PRU15 pada 18 November kelak.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan