Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Belia Johor perlu bersaing di persada antarabangsa, bukan sekadar 'jaguh kampung', tegas Hasni Mohammad

Anggaran Waktu Membaca:

PONTIAN: Keutamaan kerajaan Johor adalah membina dasar pendidikan holistik serta menyeluruh supaya generasi muda dapat bersaing di pentas antarabangsa dan menjadi lebih hebat daripada sekadar "jaguh kampung", kata Menteri Besar sementara Hasni Mohammad pada Rabu (23 Feb).

Encik Hasni berkata demikian semasa satu acara di Pontian untuk menyampaikan bantuan pendidikan kepada para wakil sekolah tempatan.

Beliau berkata: “Hasrat dan matlamat kami adalah untuk menggubal dasar pendidikan holistik, satu dasar pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa supaya pelajar kita mampu menembusi pasaran pekerjaan dalam bidang-bidang ilmu yang seiring dengan perkembangan serta peredaran masa. ”

"Kami mahu membangunkan belia yang berjaya supaya mereka boleh bersaing dengan sesiapa sahaja," tambah Encik Hasni.

Beliau juga menegaskan memandangkan Johor berjiran dengan Singapura, "sebuah negara maju", ini memerlukan negeri selatan itu untuk membangunkan generasi lebih muda yang "berdaya saing dan bukan sekadar jaguh kampung".

"Jaguh kampung" merujuk kepada individu yang diraikan di tempat kelahiran mereka tetapi mungkin tidak mempunyai pengaruh di pentas yang lebih besar.

"Saya tidak pasti dengan negeri lain, tetapi di Johor, ia adalah satu keperluan. Lebih-lebih lagi kerana kita berjiran dengan sebuah negara maju. Apabila kita melihat jiran kita meraih pencapaian demi pencapaian, kita tidak mahu ketinggalan di belakang," kata Encik Hasni.

"Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh kampung yang bersorak sesama sendiri, kita mahu berada di atas pentas antarabangsa," tambahnya.

Encik Hasni adalah menteri besar kerajaan negeri Johor sebelum DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Pilihan raya negeri (PRN) Johor akan diadakan pada 12 Mac, dengan penamaan calon bakal berlangsung pada Sabtu ini (26 Feb).

Encik Hasni akan memimpin parti Barisan Nasional untuk pilihan raya negeri akan datang ini.
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan