Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Belanjawan M'sia dijangka tangani kos sara hidup, inflasi & hutang negara

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia Anwar Ibrahim bakal membentangkan Belanjawan Negara kerajaan perpaduan beliau pada Jumaat (24 Feb).

Langkah-langkah untuk menangani kos sara hidup, kadar inflasi yang meningkat dan ramalan pertumbuhan ekonomi yang lembab dijangka menarik perhatian rakyat negara itu.

Pembentangan Belanjawan Negara itu juga merupakan yang pertama bagi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Hutang fiskal Malaysia kini melebihi AS$300 bilion (S$402 bilion) iaitu lebih 80% GDP negara itu.

TIDAK AKAN MEMPERKENALKAN CUKAI BARU

PM Anwar berkata Malaysia akan menangani kadar hutang yang meningkat melalui pengurangan subsidi serta pentadbiran yang baik dan bukan melaksanakan cukai penggunaan meluas mahupun cukai yang baru.

Pengasas Bersama Merdeka Centre, sebuah badan pemikir di Malaysia, Ibrahim Suffian berkata pihaknya menjangkakan Belanjawan Malaysia akan mempunyai usaha-usaha untuk menambah pendapatan kerajaan.

Beliau menambah: "Pada masa yang sama, saya fikir rakyat juga amat prihatin dan kebanyakan mereka terjejas dengan kenaikan kos sara hidup."

Bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah, habuan wang tunai dijangka diagihkan sebagai bantuan jangka pendek.

"Sejauh mana tambahan jumlah habuan wang kepada mereka, kami tidak pasti. Namun, saya fikir habuan wang bersama dengan subsidi bersasar kemungkinan besar diagihkan bersama tahun ini," kata Encik Ibrahim.

TIDAK AKAN TERIKAT DENGAN BELANJAWAN LAMA: PM ANWAR

Pada Oktober lalu, Menteri Kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz membentangkan Belanjawan sekitar AS$84 bilion (S$112 bilion), yang tertinggi sejauh ini.

Menyusuli perubahan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerajaan PM Anwar pada Disember lalu meluluskan Belanjawan sementara AS$24 bilion (S$32 bilion) bagi perbelanjaan operasi.

PM Anwar sudahpun mengatakan Belanjawan beliau tidak akan terikat kepada apa yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini.

Para pengamat ekonomi berkata beberapa saranan bagaimanapun boleh dikekalkan seperti lebih banyak sokongan bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education Dr Carmelo Ferlito berkata Belanjawan tahun lalu memperkenalkan beberapa perkara menarik khususnya insentif bagi perniagaan selain beberapa habuan wang memandangkan PRU15 yang bakal menjelang ketika itu.

"Namun sekarang bukanlah masanya untuk Belanjawan populis. Kita dalam permulaan mandat kerajaan baru. Jadi sekarang waktunya lebih konservatif dan berhemat secara fiskal," ujar beliau.

Belanjawan Malaysia 2023 juga dilihat sebagai ujian ekonomi bagi PM Anwar yang kini mempunyai rating sokongan sekitar 68 peratus.

Namun dengan unjuran ekonomi Malaysia yang semakin mencabar, Belanjawan Malaysia 2023 juga merupakan anak kunci bagi penakatan kerajaan perpaduan PM Anwar yang perlu berdepan dengan enam Pilihan Raya Negeri tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan