Skip to main content

Dunia

Belanjawan Malaysia 2027: Anwar berdepan cabaran imbangi bantuan kos sara hidup, disiplin fiskal menjelang PRU16

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berdepan cabaran untuk mengimbangi bantuan kos sara hidup dengan usaha mengukuhkan kedudukan kewangan negara menerusi Belanjawan 2027, yang mungkin menjadi belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan Malaysia 2027: Anwar berdepan cabaran imbangi bantuan kos sara hidup, disiplin fiskal menjelang PRU16

Orang ramai berjalan di Jambatan Saloma Link dengan Menara Berkembar Petronas diselubungi jerebu di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 7 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 08 Oct 2026 08:03AM
Malaysia Budget 2027: Anwar faces the challenge of balancing cost of living aid and fiscal discipline ahead of the 16th general election
  • Anwar Ibrahim's 2027 Budget on Oct 9 is expected to balance cost of living aid with efforts to narrow the deficit and strengthen the country's finances.
  • Economists expect the M40 to receive greater attention, while lower-income households continue to be supported through targeted aid, tax relief and schooling support.
  • Subsidy reforms, especially for RON95, are expected to proceed cautiously because of political risks ahead of the 16th general election and after PH's support declined in several states.
  • Economists warned that short-term aid needs to support productivity, investment, jobs, wages and purchasing power so that long-term economic growth is not affected.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berdepan cabaran untuk mengimbangi bantuan kos sara hidup dengan usaha mengukuhkan kedudukan kewangan negara menerusi Belanjawan 2027, yang mungkin menjadi belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pakar ekonomi menjangkakan kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), selain meneruskan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Namun, pembaharuan ekonomi yang sensitif dari segi politik dijangka dilaksanakan dengan lebih berhati-hati menjelang PRU16, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.

Belanjawan 2027, yang kelima di bawah pentadbiran PM Anwar, akan dibentangkan pada Jumaat (9 Okt) pada 3.30 petang oleh beliau selaku Menteri Kewangan.

Pembentangan itu menyusuli kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pimpinan Encik Anwar dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan tahun ini.

GOLONGAN M40 DIJANGKA TERIMA LEBIH PERHATIAN

Pakar ekonomi Anthony Dass daripada kumpulan penasihat FSG menjangkakan belanjawan itu lebih tertumpu kepada keperluan rakyat, namun tidak semestinya dipenuhi pemberian bantuan tunai jangka pendek secara meluas.

Menurutnya, pemerintah masih perlu mengimbangi sokongan kepada rakyat dengan usaha mengurangkan defisit fiskal, melaksanakan pembaharuan struktur dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Zamil Kanan merangkap Penyelaras Bersama Program Pengajian Malaysia di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Lee Hwok Aun, pula menjangkakan komitmen kukuh terhadap bantuan tunai, termasuk bantuan bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Firma kewangan JPMorgan Chase turut menjangkakan tekanan kos sara hidup yang dihadapi golongan M40 akan menjadi tumpuan utama.

Penjimatan daripada langkah penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka sebahagiannya disalurkan kepada bantuan bersasar bagi menangani perbelanjaan makanan, perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Kementerian Kewangan Malaysia sebelum ini menggariskan beberapa langkah sokongan, termasuk bantuan persekolahan RM150 (S$47), dua pemberian tunai RM100 (S$31) kepada semua orang dewasa serta pelepasan cukai bagi pembelian rumah pertama dan pendidikan awal kanak-kanak.

Sementara itu, bank UOB mengunjurkan perbelanjaan kerajaan meningkat kepada rekod RM445.9 bilion (S$139.6 bilion), bersamaan 19.6 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Namun, defisit fiskal dijangka mengecil kepada 3.3 peratus GDP berbanding anggaran 3.5 peratus tahun ini.

PEMBAHARUAN SUBSIDI DIJANGKA LEBIH BERHATI-HATI

Pakar ekonomi Sedek Jantan daripada kumpulan perancangan kewangan IPP berkata pemerintah tidak boleh menghentikan pembaharuan struktur sepenuhnya, namun pelaksanaannya perlu lebih berperingkat.

Beliau menjangkakan kerajaan akan memperketat syarat kelayakan subsidi dan mengurangkan ketirisan sebelum melaksanakan perubahan lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari, pula berpendapat langkah penyasaran subsidi petrol selanjutnya tidak mungkin dilaksanakan kerana risiko politik yang tinggi.

Ini menyusuli keputusan pemerintah memulihkan kuota pembelian petrol RON95 bersubsidi kepada 300 liter sebulan bagi rakyat Malaysia, selepas mengurangkannya kepada 200 liter awal tahun ini.

Pada Ogos lalu, Encik Anwar turut mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan sedang mengkaji cadangan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan ciri Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

BANTUAN JANGKA PENDEK PERLU IMBANGI PERTUMBUHAN EKONOMI

Para pakar turut mengingatkan bahawa langkah meringankan kos sara hidup tidak seharusnya menjejas pelaburan, produktiviti dan pembaharuan ekonomi jangka panjang.

Encik Sedek berkata bantuan segera mungkin mendapat sambutan rakyat, namun tidak semestinya mampan sekiranya ia menambah komitmen perbelanjaan kerajaan tanpa meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

Pengarah Penyelidikan IDEAS, Stewart Nixon, pula memberi amaran bahawa belanjawan menjelang pilihan raya sering mengutamakan pertimbangan politik jangka pendek berbanding pembaharuan struktur.

Encik Dass menambah, kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada keberkesanan program sedia ada, termasuk sama ada pelaburan mewujudkan pekerjaan lebih baik, gaji meningkat dan kuasa beli isi rumah bertambah kukuh.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita