Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Belanjawan 2022 M'sia tumpu perhatian kepada lebih 400,000 keluarga bawah paras miskin

Pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan di Malaysia telah merubah landskap sosial negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Oct 2021 07:14PM Dikemas Kini : 27 Oct 2021 09:22PM

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan di Malaysia telah merubah landskap sosial negara itu.

Lebih 400,000 isi rumah kini hidup di bawah paras kemiskinan.

Pengumuman belanjawan 2022 minggu ini akan menumpukan kepada golongan miskin dan penganggur untuk membantu mereka pulih dan membangunkan daya bingkas.

Salah seorang daripada golongan miskin adalah Cik Dewianesa Mohamed, 36 tahun, ibu enam anak.

Keluarganya tinggal di sebuah flat di pinggir bandar Kuala Lumpur.

Beliau mahu kembali bekerja namun kerana anaknya ramai, tidak mampu menampung kos penjagaan anak.

"Satu orang saya dengar kawasan sini, RM350, kalau dua orang, kalau saya hantar orang pun, hantar dua paling kecil," kata suri rumah itu.

Suami beliau, seorang teknisyen membawa pulang gaji sekitar RM1,650 sebulan.

Selepas membayar sewa rumah, bil api air, telefon dan pengangkutan, tidak banyak yang tinggal.

Beliau sudah memohon bantuan susu formula, lampin dan keperluan lain dari ahli parlimen.

Seperti Cik Dewianesa, ratusan ribu isi rumah di Malaysia kini menghadapi kesempitan dengan gaji bulanan mereka di bawah paras kemiskinan.

Ini meskipun bantuan tunai hampir RM10 bilion diagihkan kerajaan sejak tahun lalu kepada golongan bergaji rendah dan pertengahan.

Menurut sebuah NGO, bantuan mesti bersifat menyeluruh dan bukan sekadar pemberian wang tunai.

"Memang wang tunai itu satu kemewahan, bila kita terima seronok nak belanja tetapi kadang-kadang duit itu sepatutnya bayar sewa, bayar apa-apa hutang yang tertunggak, tapi bila kita dapat tunai itu macam seronok nak belanja, nak bawa anak makan, nak ke sana ke sini, jadi duit itu tidak digunakan untuk apa yang kerajaan fikir yang kita akan gunakan untuk menyelesaikan apa-apa yang tertunggak," kata Pengasas Pertiwi Soup Kitchen Munirah Hamid.

Pertanian bandar adalah salah satu cara untuk membantu para penganggur namun tumpuan segera katanya, harus diberikan kepada kanak-kanak.

"Sekarang ni kita nak fikir yang budak-budak ni, yang remaja, yang budak-budak yang tak bersekolah lagi, apa yang kita nak berikan mereka kemahiran hidup yang seterusnya 'employable skills'.

"Ini bukan mudah sebab sekarang dunia dah lain, perniagaan pun dah lain, cara berniaga pun dah lain," tambah beliau.

Kerajaan Malaysia dijangka terus memberi tumpuan kepada golongan miskin dengan lebih banyak bantuan diperuntukkan dalam Belanjawan 2022 untuk mengharungi kesan ekonomi akibat pandemik.

Belanjawan terbaru Malaysia itu juga dijangka akan merangsang penciptaan pekerjaan yang bermakna bagi mengatasi kemiskinan dalam jangka panjang.  

Sumber : CNA/EM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa