Skip to main content

Dunia

Belanda, Iceland sokong kes ICJ terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Belanda dan Iceland secara rasmi memfailkan deklarasi penyertaan dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Anggaran Waktu Membaca:
Belanda, Iceland sokong kes ICJ terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza
Kes yang difailkan Afrika Selatan pada 2023 menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid melalui pembunuhan besar-besaran, pengusiran paksa, dan sekatan makanan serta bantuan kemanusiaan di Gaza. (Gambar fail: REUTERS)
THE HAGUE: Belanda dan Iceland secara rasmi memfailkan deklarasi penyertaan dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Kedua-dua negara menyerahkan dokumen tersebut di bawah Artikel 63 Statut ICJ, sekali gus menjadikan mereka sebahagian daripada kumpulan negara yang ingin memberikan tafsiran undang-undang terhadap Konvensyen Genosid 1948 dalam prosiding tersebut.

Dalam deklarasi bertulis setebal 24 halaman, Iceland menekankan bahawa faktor berkaitan pengusiran secara paksa rakyat Palestin di Gaza, termasuk kemusnahan besar-besaran perumahan dan sifat daerah Gaza yang tertutup, mesti diambil kira dalam menilai niat penghapusan etnik.

Negara itu turut menegaskan bahawa perbuatan terhadap kanak-kanak, termasuk penyeksaan dan penderaan mental, perlu diberikan pertimbangan khusus kerana berpotensi membuktikan niat untuk memusnahkan sesuatu kumpulan.

Belanda pula, melalui dokumen setebal 10 halaman, memberi tumpuan kepada isu kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan, yang menurutnya boleh dianggap sebagai tindakan yang “dihitung untuk membawa kepada kemusnahan fizikal sesuatu kumpulan” sekiranya dilakukan secara sengaja.

Belanda turut menekankan bahawa pengusiran secara paksa dan sekatan bantuan makanan boleh menjadi elemen penting dalam penentuan niat pembunuhan beramai-ramai.

Dengan penyertaan Belanda dan Iceland, jumlah negara yang menyertai prosiding berkenaan meningkat kepada 18 buah negara, termasuk Belgium, Bolivia, Brazil, Chile, Colombia, Comoros, Cuba, Ireland, Libya, Maldives, Mexico, Paraguay, Sepanyol, Turki serta Negara Palestin.

Mereka sebelum ini memfailkan intervensi atas dasar bahawa tafsiran konvensyen tersebut memberi kesan kepada kepentingan undang-undang mereka.

Kes yang difailkan Afrika Selatan pada 2023 menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid melalui pembunuhan besar-besaran, pengusiran secara paksa, dan sekatan makanan serta bantuan kemanusiaan di Gaza.

Israel menafikan dakwaan tersebut, tetapi penyertaan semakin ramai negara menunjukkan peningkatan tekanan antarabangsa terhadap tindakan tentera Israel.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita