Skip to main content

Dunia

Belanda beri bantuan guaman percuma bagi tuntutan pampasan MH17

Para pegawai Belanda akan menyediakan nasihat guaman percuma kepada anggota keluarga mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, bagi membuat tuntutan pampasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanda beri bantuan guaman percuma bagi tuntutan pampasan MH17

Para penyiasat Belanda dan Australia menyalahkan Rusia atas tragedi MH17, namun dakwaan itu ditolak oleh Mosko sebelum ini. (Gambar: Emmanuel Dunand/AFP)

Diterbitkan : 08 Jan 2019 07:18AM Dikemas Kini : 08 Jan 2019 07:23AM

THE HAGUE: Para pegawai Belanda akan menyediakan nasihat guaman percuma kepada anggota keluarga mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, bagi membuat tuntutan pampasan.

Menteri Kehakiman Belanda, Ferd Grapperhaus berkata demikian pada Isnin (7 Jan) sambil menambah bahawa siasatan bersama ke atas tragedi itu hampir selesai dijalankan.

Pesawat Malaysia Airlines berkenaan ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine yang hancur akibat peperangan pada 17 Julai 2014, mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal.

Pesawat jenis Boeing 777 itu ditembak oleh sebuah peluru berpandu BUK buatan Rusia semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pada Mei 2018, Belanda dan Australia menyalahkan Rusia atas tragedi tersebut.

"Bantuan guaman percuma sedang diaturkan untuk anggota-anggota keluarga yang ingin menyertai perbicaraan" dengan tujuan untuk menuntut pampasan, kata Encik Grapperhaus.

"Siasatan terhadap insiden itu dijangka akan selesai dijalankan pada tahun depan," kata beliau menerusi kiriman surat kepada parlimen Belanda.

Menurut laporan-laporan akhbar tempatan, satu perbicaraan dijadualkan bermula dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia akan diadakan di sebuah mahkamah Belanda, kemungkinan besar di The Hague.

Encik Grapperhaus bagaimanapun menekankan bahawa tuntutan pampasan yang sudah dibayar oleh pihak-pihak selain mereka yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat - seperti Malaysia Airlines dan syarikat-syarikat insurans - tidak akan dipertimbangkan semula oleh mahkamah.

Meskipun lima negara iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, sedang menyiasat tragedi itu, kebanyakan mangsa adalah rakyat Belanda.

Mosko sebelum ini menafikan dengan keras bahawa ia tidak bertanggungjawab atas nahas tersebut.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita