Belalang Padi hidangan sampingan nasi dan pulut
Walaupun agak pelik namun hakikatnya belalang padi mempunyai rasa yang enak dan digemari ramai, malah dijual hingga RM70 (S$22.80) sekilogram.
(Gambar: Bernama)
JERTIH: Walaupun agak pelik namun hakikatnya belalang padi mempunyai rasa yang enak dan digemari ramai, malah dijual hingga RM70 (S$22.80) sekilogram.
Pasangan suami isteri Encik Muhammad Salleh, 64 tahun, dan Cik Azizah Mat Jusoh, 59 tahun, yang menjual belalang padi atau belalang perah itu berkata permintaan terhadap serangga kecil itu sentiasa tinggi malah habis dijual tidak sampai dua jam.
"Belalang yang dijual ini saya cari sendiri dan ada sebahagiannya dibeli daripada penduduk yang mencari belalang di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Putih, Kelantan. Saya perlu juga mendapatkan bekalan dari pelbagai sumber bagi memastikan bekalan sentiasa ada untuk dipasarkan di pasar tani Kuala Besut setiap hari Jumaat dan Isnin.
“Belalang ini dijual dengan harga RM10 (S$3.30) bagi 100 gram dan RM70 (S$22.80) untuk satu kilogram," katanya kepada Bernama ketika di temui di sini hari ini.
Encik Muhammad yang mula menjual belalang di pasar berkenaan sejak Sept lalu berkata belalang tersebut boleh didapati dengan kuantiti yang banyak di rumput menerung dan di kawasan sawah selepas waktu hujan.
Beliau yang mengakui turut menggemari belalang tersebut berkata ia boleh ditangkap di antara pukul 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, menerusi dua kaedah iaitu menangkap seekor demi seekor menggunakan tangan ataupun menebar jaring yang diperbuat daripada
guni.
"Setelah ditangkap, belalang itu akan direndam dan digoreng seketika sehingga warna hijau belalang bertukar kemerah-merahan sebelum dijual. Sebelum dimasak, belalang ini masih perlu disiang dan dibersihkan sekali lagi.
"Cara untuk siang belalang ini kita hanya perlu buang sayap dan kateh (kaki) sahaja. Kemudian barulah belalang ini boleh dimasak mengikut citarasa yang diingini sama ada dimasak rendang, kerutuk mahupun goreng garam kunyit," katanya.
Tambah beliau, rasa belalang amat sedap dan sesuai digandingkan bersama nasi dan pulut.
Sementara itu peminat tegar makanan eksotik itu, Cik Che Ismail Rajab, 63 tahun, berkata belalang adalah makanan kesukaan sejak zaman dahulu, namun sukar didapati dan bermusim.
"Dulu-dulu belalang ini dijadikan makanan kerana sumber makanan tidak banyak seperti sekarang. Kini makanan eksotik seperti ini sukar diperolehi dan hanya dijual di sesetengah tempat sahaja," katanya.
Bagi Fazira Wahida Jaiz, 26 tahun, pula, beliau amat terkejut apabila melihat belalang tersebut dijual oleh pasangan berkenaan hingga beberapa kali bertanya benarkah ianya belalang dan boleh dimakan.
Pengalaman pertama itu membuatkan beliau bertindak memuat naik dan berkongsi gambar belalang tersebut di laman sosial miliknya, namun tidak menyangka ia berjaya menarik perhatian ramai yang ingin mengetahui lokasi penjualan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.