Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas sarjan tentera M'sia fail semakan kehakiman; diberhenti kerja kerana enggan divaksin

Bekas sarjan tentera yang diberhentikan perkhidmatannya selepas menolak vaksin COVID-19 memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas sarjan tentera M'sia fail semakan kehakiman; diberhenti kerja kerana enggan divaksin

Gambar: Facebook/ Wan Ramli Wan Seman

Diterbitkan : 28 Sep 2021 10:25AM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 10:26AM

KUALA LUMPUR: Bekas sarjan tentera yang diberhentikan perkhidmatannya selepas menolak vaksin COVID-19 memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu.

Encik Wan Ramli Wan Seman, yang pernah bertugas di batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Rasah, Negeri Sembilan, memfailkan semakan kehakiman itu pada Isnin (27 Sep) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguamnya, Cik Suzana Norlihan Ujen mengesahkan perkara berkenaan.

Encik Wan Ramli menamakan Leftenan-Kolonel Sharull Hesham Md Yasin; Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri; Panglima TDM, Jeneral Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.

Leftenan-Kolonel Sharull adalah pegawai memerintah Kem Rasah sementara Leftenan Azammunir didakwa merupakan pegawai yang menandatangani surat pemberhentian itu.

Kedua-dua mereka dianggap berada di bawah pengawasan, kawalan, arahan dan undang-undang serta pentadbiran dasar daripada tiga responden yang lain.

Encik Wan Ramli meminta pengisytiharan bahawa surat pemberhentian bertarikh 4 Ogos tahun ini, serta penamatan perkhidmatannya adalah tidak sah dan tidak membawa kesan.

Menurut kertas kausa, Encik Wan Ramli mendakwa bahawa pada 3 Julai, beliau mendapat arahan di klinik Kem Rasah untuk mengambil vaksin COVID-19 tetapi beliau menggunakan hak perlembagaannya untuk tidak diberikan vaksin.

Encik Wan Ramli ketika itu mendakwa bahawa beliau kemudian menjalani beberapa kali soal siasat pada 5, 6 dan 9 Julai, di mana beliau didakwa "diletakkan di bawah tekanan luar biasa dan dimarahi oleh beberapa petugas kerana menolak diberikan vaksin".

Encik Wan Ramli mendakwa bahawa pada 10 Julai, beliau diadili oleh Leftenan-Kolonel Sharull dan didakwa di bawah empat peruntukan Akta Angkatan Tentera 1972, iaitu kerana tidak mematuhi perintah untuk diberikan vaksin; menggunakan bahasa yang mengancam atau tidak sesuai dengan pegawai atasan; tidak mematuhi perintah tetap; dan melakukan prasangka terhadap ketertiban dan tatatertib yang baik.

Beliau mendakwa Leftenen-Kolonel Sharull menolak permintaannya untuk diadili, yang menurutnya merupakan pelanggaran serius terhadap keadilan dan didakwa menghilangkan mata pencariannya yang dilindungi di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Wan Ramli berpendapat beliau hanya mengatakan "Saya masih tidak setuju untuk diberikan vaksin", yang menurutnya tidak mengancam atau merupakan bahasa yang tidak wajar.

Bekas sarjan itu juga berkata bahawa beliau memiliki hak untuk menolak vaksinasi.

Encik Wan Ramli mendakwa bahawa pada 3 Ogos, beliau diberitahu bahawa pemberhentiannya berkuat kuasa mulai 26 Ogos tahun ini, yang jauh lebih awal daripada pemberhentian sepatutnya, pada 20 Januari 2023.

Sementara itu, Cik Suzana menjelaskan bahawa kertas kausa belum diserahkan kepada lima responden kerana tindakan undang-undang baru diajukan, lapor Malaysiakini.

Beliau mengatakan bahawa setelah kertas kausa diambil dari mahkamah, mereka akan memberikan salinan permohonan semakan kehakiman kepada responden.

"Gopal Sri Ram juga merupakan penasihat utama bagi pemohon (Wan Ramli)," tambahnya sambil merujuk kepada bekas hakim mahkamah persekutuan Sri Ram.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan