Skip to main content

Dunia

Bekas polis ke tali gantung bunuh kekasih

Mahkamah Rayuan Malaysia mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bekas anggota polis berpangkat korporal kerana membunuh kekasihnya yang mengandung pada 2015.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas polis ke tali gantung bunuh kekasih

Gambar hiasan tali gantung. (Gambar: YOAV LEMMER / AFP)

Diterbitkan : 21 May 2018 06:57PM Dikemas Kini : 21 May 2018 07:00PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Malaysia mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bekas anggota polis berpangkat korporal kerana membunuh kekasihnya yang mengandung pada 2015.

Penal tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Muhammad Faizal Salim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati kepadanya atas kesalahan itu

Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan penal itu berkata mereka berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan oleh peguam Muhammad Faizal dalam rayuannya tidak mempunyai merit.

"JANGAN PUKUL SAYA MACAM INI, SAYA MENGANDUNG"

Muhammad Faizal, 40 tahun, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Februari tahun lalu kerana membunuh Norzielawati Akmar Afandi, 35 tahun, di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik di Mersing Johor antara 11.00 malam 12 April 2015 dengan 12.30 pagi 12 April 2015.

Berdasarkan fakta kes, seorang saksi pendakwaan yang merupakan jiran tertuduh memberi keterangan bahawa beliau mendengar suara seorang wanita dan tertuduh (Muhammad Faizal) sedang bergaduh.

Saksi berkenaan, Sarjan Zainuddin Bakar berkata beliau mendengar suara seorang wanita mengerang kesakitan dan beliau juga mendengar wanita itu berkata dalam bahasa Melayu "Jangan pukul saya macam ini saya sedang mengandung".

Seorang doktor di Wad Kecemasan Hospital Mersing memeriksa Norzielawati dan mengesahkan wanita itu meninggal dunia.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati ialah hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala dan si mati juga mempunyai 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam, luka dan kelupasan. Pemeriksaan dalaman juga menunjukkan bahawa si mati mengandung enam bulan.

Dalam rayuan hari ini (21 Mei), peguam Muhammad Faizal, Encik Subash Ramasamy memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan si mati merupakan sepasang kekasih dan pertengkaran itu merupakan pertengkaran pasangan sedang bercinta.

Beliau berkata sabitan Muhammad Faizal kerana membunuh adalah tidak selamat dan meminta mahkamah meminda pertuduhan kepada kesalahan membunuh tanpa niat kerana Muhammad Faizal tidak mempunyai hasrat untuk membunuh si mati.

Timbalan pendakwa raya Nurshafini Mustafha berhujah bahawa Muhammad Faizal mempunyai niat mencederakan si mati dan bentuk kecederaan pada tubuh si mati biasanya membawa kepada kematian.

Muhammad Faizal mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita