Skip to main content

Dunia

Bekas pengarah 1MDB tukar fikiran, mengaku RM2.8 bilion masuk akaun peribadi Najib

Seorang saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini (7 Apr) menukar keterangannya dan mengaku di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa sejumlah RM2.28 bilion (S$733 juta) daripada wang dana negara itu masuk ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak antara tahun 2011 hingga 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengarah 1MDB tukar fikiran, mengaku RM2.8 bilion masuk akaun peribadi Najib

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Apr 2022 05:54PM

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini (7 Apr) menukar keterangannya dan mengaku di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa sejumlah RM2.28 bilion (S$733 juta) daripada wang dana negara itu masuk ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak antara tahun 2011 hingga 2014.

Bercanggah dengan keterangannya sebelum ini, yang menyatakan Najib tidak menerima manfaat daripada wang 1MDB, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Ismee Ismail, 58 tahun, menukar fikiran mengenai perkara itu. Ismee setuju dengan pendakwaan selepas ditunjukkan carta aliran beberapa lapisan proses membabitkan Deutsche Bank dan kemudahan pinjaman Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN). 

Mengikut dokumen yang ditunjukkan kepada saksi pendakwaan ke-13 itu semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram, wang tersebut melalui beberapa siri lapisan proses sebelum berakhir dalam akaun peribadi Ambank Najib dengan nombor akhir 694 dan 880.

Sri Ram: Adakah anda ingin mempertimbang semula jawapan anda bahawa tertuduh tidak menerima sebarang manfaat daripada kesemua transaksi ini?

Ismee: Kesemua dokumen ini tidak ditunjukkan kepada saya semasa pemeriksaan balas. 

Sri Ram kemudian menyoal saksi itu sama ada beliau ingin menukar jawapannya dan Ismee menjawab" “Daripada carta itu, saya boleh lihat sejumlah dana telah masuk ke akaun tersebut.”

Sri Ram mengulangi “Maksud anda, sejumlah dana milik 1MDB telah masuk ke akaun tertuduh” dan saksi itu bersetuju.

Awal sebelum ini, Sri Ram menyoal Ismee mengenai pandangannya terhadap hubungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dengan Najib sepanjang tempoh beliau berada dalam Lembaga Pengarah dari 2009 hingga 2016. 

Sri Ram: Sepanjang tempoh itu, daripada pemerhatian anda, apa yang dapat anda rumuskan mengenai hubungan antara Jho Low dan Najib?

Ismee: Saya percaya mereka mempunyai hubungan rapat.

Ditanya lanjut oleh Sri Ram sama ada beliau mempunyai pengetahuan secara peribadi mengenai butiran bagaimana Najib dan Jho Low berkongsi dana 1MDB, Ismee berkata beliau tidak tahu.

Najib, 68 tahun, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$740 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita