Skip to main content

Dunia

Bekas pemimpin PAS mengaku tidak bersalah atas 33 tuduhan pecah amanah; pengubahan wang haram

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Isa, hari ini ( 22 Okt) mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bernilai RM4 juta (S$1.3 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemimpin PAS mengaku tidak bersalah atas 33 tuduhan pecah amanah; pengubahan wang haram

Bekas Timbalan Presiden PAS, Dr Nasharudin Mat Isa. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Oct 2019 03:03PM Dikemas Kini : 22 Oct 2019 03:04PM

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Isa, hari ini ( 22 Okt) mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bernilai RM4 juta (S$1.3 juta).

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi, lapor Astro AWANI.

Mengikut 27 tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh - yang juga Pengerusi Yayasan Nassar - didakwa melakukan pecah amanah ke atas harta syarikat tersebut dengan membuat pembayaran kepada beberapa entiti dan individu dari 2015 hingga 2018 berjumlah RM1.12 juta (S$364,000).

Nasharudin turut didakwa menerima gaji RM20,000 (S$6,500) selama beberapa bulan sebagai pengerusi yayasan berkenaan.

Tiga lagi tuduhan di bawah akta sama, Nasharudin - yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) - didakwa melakukan pecah amanah dengan menghulurkan Geran Penyelidikan sebanyak RM2.6 juta (S$846,000) kepada syarikat 'Wasatiyah Centre For Peace'.

Jika sabit kesalahan, Nasharudin boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun, disebat dan didenda.

Bagi tiga pertuduhan lain di bawah AMLATFPUAA 2001, Nasharudin didakwa melakukan kesalahan memasukkan wang berjumlah RM302,069 (S$98,292) melalui tiga cek CIMB Islamic Bank Berhad milik Wasatiyah Centre For Peace Sdn Bhd ke dalam tiga akaun berbeza yang mana wang berkenaan adalah peruntukan daripada Kementerian Kewangan kepada Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pada November dan Disember 2018.

Jika sabit kesalahan, Nasharudin boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan daripada kegiatan haram, atau denda RM5 juta (S$1.6 juta), mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 (S$81,348) dengan seorang penjamin bagi 30 pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan.

Sementara itu, lapor Astro AWANI, RM80,000 (S$26,000) wang jaminan dikenakan terhadap tertuduh di bawah AMLATPUAA dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan yang memerlukan tertuduh untuk menyerahkan pasportnya.

Tertuduh diwakili peguam Mat Yunus Sharif manakala Pihak Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Mohd Zaki Mohd Salleh.

Mahkamah menetapkan tarikh 28 November untuk sebutan semula kes. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita