Skip to main content

Dunia

Bekas pembantu anggota politik Malaysia didakwa edar ganja

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pembantu anggota politik Malaysia didakwa edar ganja

Sebungkus ganja. (Gambar hiasan: iStock)

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik Malaysia didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Khamis (12 Sep) atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 305 gram pada Jumaat (6 Sep) lepas.

Muhammed Yusoff Rawther, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Arunjothy.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi, Khamis lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding pada Khamis (12 Sep), ahli keluarga Muhammed Yusoff turut hadir ke mahkamah.

Terdahulu, Muhammed Yusoff dengan tangan bergari tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi beberapa anggota polis yang mengawalnya dengan ketat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Muhammed Yusoff.

Mahkamah menetapkan 12 November untuk sebutan kes bagi laporan kimia.

Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid ketika ditemui media berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat.

Pada Rabu (11 Sep) Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa dalam kenyataaannya berkata lelaki terbabit ditahan di Jalan Bukit Kiara di sini dan direman selama enam hari bermula Sabtu (7 Sep) lepas.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita