Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas pemain Chelsea berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan susuli gempa Turki

Anggaran Waktu Membaca:
ANKARA: Bekas bintang Liga Perdana England (EPL) Christian Atsu ‘ditemui selamat’ dalam runtuhan bangunan akibat gempa bumi 7.8 magnitud di Turki.

Bekas pemain sayap Chelsea dan Newcastle United itu, yang kini bersama kelab Super Lig Turki, Hatayspor, dilaporkan hilang ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan berikutan bencana tersebut pada pagi Isnin (6 Feb).

Menurut media Turki, Atsu bersama pengarah sukan kelab berkenaan, Taner Savut terperangkap dalam bencana alam di Kahramanmaras, pangkalan Hatayspor.

Laporan itu juga menyatakan bahawa dua pemain Hatayspor, Burak Oksuz dan Bertug Yildirim diselamatkan daripada runtuhan tersebut.

Dua anggota pasukan teknikal, Ekrem Eksioglu dan Osman Ates juga terselamat daripada runtuhan itu dengan kedua-duanya berada dalam keadaan baik.

Media Portugis melaporkan pada petang Isnin bahawa Atsu 'ditemui hidup', namun dibawa ke hospital dengan kecederaan pada kaki kanannya dan mengalami kesukaran bernafas.

Laporan itu menambah bahawa rakan sepasukan Atsu, Onur Ergun dan Burak Oksuz juga ditemui hidup oleh pasukan penyelamat dan pemain Hatayspor dari Portugal, Ruben Ribeiro dan Cape Verdean Ze Luís selamat, manakala pemain pertahanan Hatayspor, Kerim Alici, berjaya keluar dari runtuhan.

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan mengenai keadaan Atsu atau tentang keberadaannya dari kelabnya atau dari media Turki.

Atsu, pemain Ghana menyertai Chelsea pada 2013, di mana dia kemudian
dipinjamkan kepada Everton dan Bournemouth, bersama kelab Vitesse, Malaga dan Newcastle United.

The Magpies menukar pinjaman sementara itu kepada perpindahan tetap pada 2017 selepas Atsu membantu pasukan tersebut menjuarai liga divisyen kedua.

Dia kekal di kelab itu sehingga 2021, sebelum berpindah ke Timur Tengah di mana dia kemudian kembali ke Eropah tahun lalu untuk bergabung dengan Hatayspor.

Newcastle melalui media sosialnya berharap Atsu ditemui dalam keadaan hidup dan sihat, sambil menulis: "Mendoakan berita positif bagi Christian Atsu."

Sementara itu, Chelsea pula menulis di Twitter: "Kami berdoa untuk anda, Christian Atsu."

Atsu hanya menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas Kasimpasa pada hujung minggu lalu sebelum gempa bumi melanda Turki.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan