Skip to main content

Dunia

Bekas Panglima Tentera Darat, dua isteri ditahan SPRM berkaitan projek perolehan tender

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas Panglima Tentera Darat, dua isteri ditahan SPRM berkaitan projek perolehan tender
Diterbitkan : 08 Jan 2026 07:57AM Dikemas Kini : 08 Jan 2026 08:14AM
PUTRAJAYA: Seorang bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) dan dua isterinya merupakan antara lima individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.

Lelaki itu bersama dengan isteri-isterinya, ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada kira-kira pukul 7.00 malam pada Rabu (7 Jan), manakala sepasang suami isteri lain, turut ditahan berhubung siasatan kes berkenaan pada Selasa (6 Jan).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi Bernama, mengesahkan penahanan kesemua mereka bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.

"Esok, SPRM dijangka memohon reman bekas panglima dan dua isterinya. Pasangan suami isteri yang ditahan itu pula telah direman tujuh hari," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata Panglima Tentera Darat diarah bercuti sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan beliau.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Azhan Md Othman, kemudian dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan.

Pada 23 Dis, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka, serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Pada Selasa, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Sumber : Bernama/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita