Bekas menteri kewangan Malaysia Daim Zainuddin fail tindakan undang-undang cabar siasatan SPRM
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, isteri serta empat anaknya memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar siasatan yang dijalankan terhadap mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
(Gambar: BERNAMA)
Daim, 85, dan isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, serta empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25, serta Ilham Tower Sdn Bhd selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada Khamis (10 Jan) menerusi Tetuan Tommy Thomas.
Mereka menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam notis permohonan yang diperoleh media hari ini (11 Jan), pemohon berkata pada 30 Dis 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat daripada “Pandora Papers”.
Menurut Daim, Pandora Papers adalah fail sulit yang tersebar pada tahun 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset, dan akaun bank di luar negara yang di luar bidang kuasa Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mendakwa fail terbabit tidak menyatakan sebarang kesalahan dilakukan olehnya dan keluarga.
Menerusi permohonan itu, Daim dan ahli keluarganya memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua penyiasatan terhadap mereka sekiranya mahkamah memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Selain itu, mereka memohon satu perintah antaranya supaya SPRM dan pegawainya membatalkan semua penyiasatan yang dimulakan terhadap mereka sejak Februari 2023 sehingga kini dan membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.
Pengurusan kes ditetapkan pada 16 Jan ini secara sidang video di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.