Skip to main content

Dunia

Bekas menteri kewangan Malaysia Daim Zainuddin dihadapkan ke mahkamah hari ini

Bekas Menteri Kewangan Malaysia Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 9 hari ini (29 Jan) berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas menteri kewangan Malaysia Daim Zainuddin dihadapkan ke mahkamah hari ini

Mantan Menteri Kewangan Malaysia Daim Zainuddin. (Gambar fail: AFP/Andy Wong)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Malaysia Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 9 hari ini (29 Jan) berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Daim akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi pada pukul 9.00 pagi.

Pada Sabtu (27 Jan), Daim dalam kenyataannya berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil rakaman percakapannya dan memaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada Isnin (29 Jan) atas kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang merupakan kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.

Pada Rabu (24 Jan), SPRM mengesahkan sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim, 85 tahun, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin di mahkamah namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan bekas Menteri Kewangan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi antirasuah itu mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara sejak minggu lepas, namun tidak dapat berbuat demikian kerana Daim dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

Beliau berkata semakan mendapati Daim, yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, telah dimasukkan ke hospital lebih awal sebelum pihaknya mendapat kelulusan untuk mendakwa namun mereka tidak dimaklumkan mengenai sebab bekas menteri kanan itu menerima rawatan di hospital.

Pada 23 Jan lepas, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebelum ini Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM kertas siasatan bagi kes itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita