Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas Menteri Kesihatan Perancis didakwa berhubung cara kendalikan pandemik COVID-19

Agnes Buzyn didakwa atas sebab 'membahayakan nyawa orang lain'; pada Januari 2020 dia berkata risiko pandemik COVID-19 diimport dari Wuhan, China "tidak akan berlaku" serta risiko jangkitan dalam kalangan penduduk adalah sangat kecil.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas Menteri Kesihatan Perancis didakwa berhubung cara kendalikan pandemik COVID-19

Gambar fail bekas menteri kesihatan Perancis, Agnes Buzyn dipetik pada Mac 2020 (Gambar fail: Julien De Rosa/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 03:59PM Dikemas Kini : 11 Sep 2021 04:02PM

PARIS: Bekas Menteri Kesihatan Perancis, Agnes Buzyn didakwa di sebuah mahkamah khas pada Jumaat (10 Sep) berkaitan cara mengendalikan pandemik COVID-19 di negara tersebut.

Perkara itu diputuskan selepas penyiasat mendapati ada alasan kukuh untuk mendakwanya.

Pendakwa raya Mahkamah Kehakiman Republik berkata, Buzyn didakwa atas sebab 'membahayakan nyawa orang lain', namun tidak untuk kesalahan kedua iaitu kemungkinan 'gagal menghentikan bencana'.

Bekas doktor berusia 58 tahun itu, yang berpeluang membuat rayuan terhadap pertuduhan itu, berkata beliau menyambut baik "peluang untuk membersihkan namanya dan membuktikan kebenaran."

Tambah Buzyn, beliau "tidak akan membiarkan usaha pemerintah atau tindakannya ketika menjadi menteri dicemari apabila mereka telah melakukan banyak perkara untuk mempersiapkan negara tersebut berdepan dengan krisis kesihatan global yang masih berterusan."

Pertuduhan itu merupakan satu tamparan hebat kepada Presiden Presiden Emmanuel Macron, yang mana cara beliau menangani COVID-19 akan menjadi perhatian semasa kempen pilihan raya tahun depan.

Bekas Perdana Menteri, Edouard Philippe dan Menteri Kesihatan sekarang, Olivier Veran juga turut disiasat mahkamah serta pejabat mereka, digeledah.

Keputusan itu kemungkinan akan menimbulkan perdebatan mengenai siapa yang harus dipersalahkan dan tanggungjawab atas penularan COVID-19 yang bermula dari China pada awal tahun lalu.

Buzyn meletak jawatan pada Februari tahun lalu, beberapa minggu selepas kes pertama COVID-19 disahkan di Perancis.

Beliau berdepan kritikan dan kecaman atas kenyataannya pada Januari 2020 bahawa risiko pandemik itu diimport dari Wuhan, China "tidak akan berlaku" serta risiko jangkitan dalam kalangan penduduk adalah sangat kecil.

Sebulan kemudian, ketika berkempen bagi jawatan datuk bandar Paris, Buzyn mendakwa "tsunami masih belum datang", bercanggah dengan kenyataan sebelumnya.

Perancis mencatat 6.89 juta kes COVID-19 dengan 115,000 kematian setakat ini.  

Sumber : AFP/SU/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa