Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas menteri Indonesia ditahan, letak muka Presiden Jokowi pada patung Buddha

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas menteri Indonesia ditahan, letak muka Presiden Jokowi pada patung Buddha

(Gambar: @KRMTRoySuryo2/Twitter)

Diterbitkan : 06 Aug 2022 08:00PM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 08:00PM

JAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang bekas menteri dengan tuduhan membuat kenyataan berunsur kebencian dan menghina agama. 

Bekas Menteri Sukan dan Belia, Roy Suryo Notodiprojo, memuat naik paparan digital patung Buddha yang kepalanya disunting bagi meletakkan muka Presiden Indonesia Joko Widodo.

Jurucakap polis, Endra Zulpan berkata akaun Twitter serta telefon bimbitnya dirampas supaya dia tidak dapat memadamkan sebarang bahan bukti yang ada.

"Pihak penyiasat memutuskan untuk menahan Roy Suryo Notodiprojo  sebagai suspek dalam kes kenyataan kebencian," katanya dalam sidang media, pada Jumaat (5 Ogos).

Tweet dimuat naik Roy, yang sudah dipadamkan, dilakukan pada Jun lalu selepas pemerintah Indonesia mengumumkan rancangan menaikkan bayaran masuk ke kompleks purba Borobudur di Jawa tengah, yang juga tokong Buddha terbesar dunia.

Bagaimanapun, rancangan itu dibatalkan selepas dikritik orang ramai.

Roy ketika itu membuat kenyataan gambar Presiden Joko Widodo yang disunting pada patung di Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut sebagai 'kelakar'.

Catatannya itu menimbulkan kemarahan warga netizen Indonesia, yang menganggapnya sebagai penghinaan kepada Presiden Indonesia dan ajaran Buddha. Malah sebuah pertubuhan Buddha dan seorang penganut agama itu turut membuat laporan polis, memintanya ditahan.

Roy dituduh menyebarkan kenyataan kebencian dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga enam tahun dan denda 1 bilion rupiah (S$92,452).

Di Indonesia, kebanyakan kesalahan menghina presiden negara itu dihukum menerusi undang-undang internet, yang didakwa menghadkan kebebasan bersuara oleh badan hak asasi.

Pada 2018, seorang remaja dihukum penjara lebih setahun kerana menghina Presiden Jokowi di Facebook. 

Roy bagaimanapun tidak berdepan dakwaan di bawah peruntukan itu buat masa ini.

Sumber : AFP/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa