Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad dipenjara, didenda atas tuduhan rasuah

Mahkamah Tinggi hari ini (3 Feb) menjatuhkan hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta (S$5.08 juta) terhadap bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta (S$988,425).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad dipenjara, didenda atas tuduhan rasuah

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Feb 2021 05:22PM Dikemas Kini : 03 Feb 2021 05:24PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (3 Feb) menjatuhkan hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta (S$5.08 juta) terhadap bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta (S$988,425) berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

"Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

"Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang menggugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

"Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan," kata hakim.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 (S$1 juta) daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta (S$52.6 juta).

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (S$3,293), mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan