Skip to main content

Dunia

Bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful didakwa atas 18 tuduhan pengubahan wang haram

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful didakwa atas 18 tuduhan pengubahan wang haram

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Selasa (25 Okt), atas 18 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.59 juta (S$1.6 juta).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terbabit dan memohon dibicarakan.

"Tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya selepas kesemua 18 tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin, lapor Astro Awani.

Encik Wan Saiful, 48 tahun, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta (S$1.4 juta), mengikut mana lebih tinggi.

Pada 21 Februari lalu, Encik Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta (S$2 juta) membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta (S$66 juta) pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan tuduhan itu, Encik Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta (S$66 juta) di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Beliau juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta (S$2 juta) menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd, lapor Astro Awani.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita