Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas ketua Pegawai Kewangan 1MDB 'tiada kuasa' suarakan kebimbangan

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau "tiada kuasa" untuk menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan kewangan syarikat pelaburan strategik itu walaupun beliau turut bimbang mengenainya.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau "tiada kuasa" untuk menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan kewangan syarikat pelaburan strategik itu walaupun beliau turut bimbang mengenainya.

Azmi, 49 tahun, berkata beliau tidak pernah membangkitkan isu itu kepada ahli lembaga pengarah (BOD) 1MDB kerana semua keputusan melibatkan urus niaga kewangan diputuskan dan diberi kuasa sewajarnya melalui Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) syarikat.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib Razak, Hariharan Tara Singh, semasa perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion (S$745 juta) daripada 1MDB.

Encik Hariharan menyoal saksi pendakwaan ke-12 itu mengapa beliau tidak menjalankan peranannya sebagai CFO 1MDB dan beliau mengambil jalan mudah untuk mengurangkan proses membuat keputusan kewangan melalui DCR.

Azmi berkata beliau tidak dapat menjawab soalan itu kerana beliau tidak terlibat dalam proses pembikinan DCR dan soalan itu harus diajukan kepada bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo.

Hariharan: Saya katakan kepada anda bahawa biasanya sebagai CFO, anda sepatutnya bangkitkan perkara itu kepada BOD?

Azmi: Biasanya ya, tetapi 1MDB bukan syarikat biasa.

Bagaimanapun, Azmi tidak bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa beliau bersetuju untuk "bekerjasama" dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), kerana beliau dibayar gaji yang tinggi sebagai CFO 1MDB.

Peguam itu seterusnya menyoal Azmi bahawa semasa pemeriksaan utama, Azmi berulang kali menyatakan apa sahaja arahan yang datang daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Azlin Alias atau Jho Low, dianggap sebagai arahan daripada Najib.

Hariharan: Adakah anda pernah mengesahkan dengan Datuk Seri Najib bahawa arahan daripada arwah Azlin datang daripada beliau?

Azmi: Saya tidak mengesahkannya. Saya tiada kuasa untuk mengesahkannya.

Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok (7 Jan).

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan