Skip to main content

Dunia

Bekas ketua JI lancar program jauhi ideologi radikal, bantu pesantren beralih ke sistem pendidikan aliran utama

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas ketua JI lancar program jauhi ideologi radikal, bantu pesantren beralih ke sistem pendidikan aliran utama

Pesantren Ar-Rohmah, yang dikaitkan dengan JI, akhirnya diberi permit beroperasi daripada Kementerian Agama Indonesia pada 2021. (Gambar: Petikan skrin video Mediacorp)

Diterbitkan : 12 Aug 2025 10:08PM Dikemas Kini : 12 Aug 2025 10:09PM
NGAWI, Jawa Timur: Bekas para pemimpin kumpulan pengganas yang dibubarkan, Jemaah Islamiyah (JI), melancarkan inisiatif baharu bertujuan untuk terus berpaling daripada masa lalu yang radikal.

Matlamat program bergelar ‘Rumah Wasathiyah’ itu adalah untuk membimbing bekas anggota JI ke arah penafsiran Islam yang lebih sederhana - setahun selepas JI dibubarkan.

Namun terdapat juga usaha untuk membantu pesantren-pesantren yang dahulunya dikaitkan dengan JI, beralih kepada sistem pendidikan arus perdana (aliran utama).

PESANTREN KE ARAH SISTEM PENDIDIKAN ALIRAN UTAMA
Related article image
Bekas ketua Jemaah Islamiyah, Para Wijayanto membimbing bekas anggota kumpulan itu ke arah penafsiran Islam yang lebih sederhana. (Gambar: Petikan skrin video Mediacorp)
Pesantren Ar-Rohmah di daerah Ngawi, Jawa Timur adalah sebuah asrama perempuan yang menempatkan 450 pelajar.

Pesantren Ar-Rohmah mula mengibarkan bendera Indonesia di pekarangan sekolah selepas kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah dibubarkan tahun lalu.

Langkah pengibaran bendera negara bertujuan untuk menanamkan semangat patriotisme dan kesedaran sosial dalam kalangan santri (pelajar pesantren).

Tahun lalu, pesantren ini turut meraikan Dirgahayu Indonesia buat julung-julung kalinya, dan sudah memulakan persiapan untuk melakukannya lagi pada 17 Ogos ini.

Namun pelbagai perubahan ini sudah dimulakan jauh sebelum pembubaran JI.

Selepas bertahun-tahun bermohon, Ar-Rohmah akhirnya diberi permit beroperasi daripada Kementerian Agama Indonesia pada 2021.

Menurut Kementerian tersebut, 21 pesantren yang dahulunya dikaitkan dengan JI, sudah diberikan permit sedemikian.

"Jadi sumbangan kami dari pesantren untuk negara ini sebenarnya tidak perlu dipertanyakan lagi. Kita bukan hanya slogan. Kita bukan hanya teori, tetapi pada tataran amalan, ikut mencerdaskan kehidupan bangsa, itu sudah kita jalankan" jelas kementerian berkenaan.

Pesantren Al-Ihsan di kota Madiun, Jawa Timur merupakan satu lagi institusi yang pernah dikaitkan dengan JI.

Baru-baru ini, Al-Ishan turut bergabung ke dalam program Makanan Berkhasiat Percuma yang dilancarkan awal tahun ini.

Ia menandakan perubahan pesantren tersebut untuk bergabung ke dalam program nasional.

Al-Ihsan juga sedang menunggu proses untuk mendapatkan permit beroperasi.

Mudir Pesantren Al-Ihsan Joko Supriyanto berkata: "Kalau sudah ada izin operasi, kita juga dapat lebih banyak berbuatlah secara rasmi dan saya kira kalau sudah ada izin operasi sama pemerintah, dalam hal ini juga punya anggaran-anggaran tersendiri untuk memajukan pendidikan."

Kementerian Agama Indonesia menyatakan pihaknya sedang menilai permohonan permit 30 pesantren yang pernah dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah.

"Memang tidak semudah itu kerana kami juga tidak boleh tergesa-gesa begitu hanya kerana ingin memenuhi syarat-syarat pentadbirannya.

"Tapi kemudian ada hal-hal yang dilanggar. Ini kan bicara soal negara, soal bangsa. Kita harus sama-sama menjamin keselamatan bangsa," menurut Pengarah, Jabatan Pendidikan Awal & Pesantren dari Kementerian Agama Indonesia Dr Basnang Said.

Pada Mei lalu, bekas ketua JI Para Wijayanto dibebaskan dari penjara dengan syarat.

Sejak itu, lelaki berusia 60 tahun ini mendekati para banduan radikal di penjara-penjara kawalan maksimum - sebagai sebahagian daripada program ‘Rumah Wasathiyah’.

Beliau juga turut bertemu para pemimpin daripada dua organisasi Islam terbesar Indonesia – Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama.

"Kami ingin bekerjasama dalam memperbaiki kurikulum pondok pesantren yang sebelumnya dikaitkan dengan JI, untuk belajar bagaimana kurikulum yang menghasilkan wasathiyah tadi, Islam yang sederhana," ujar beliau.

Peralihan daripada gerakan militan kepada kesederhanaan masih satu proses yang terus berjalan.

Bagi pesantren yang dahulunya dikaitkan dengan JI, sokongan berterusan perlu untuk menyapu pergi masa silam yang suram - agar pendidikan dapat menjadi alat sebagai penyatu bangsa, bukan berpecah belah.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/SI/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita