Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas Ketua Hakim M'sia ikrar laksana tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sebaik mungkin

Bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berjanji akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas Ketua Hakim M'sia ikrar laksana tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sebaik mungkin

Tun Arifin Zakaria. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 08:13AM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 08:21AM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berjanji akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan Tuanku melantik saya ke jawatan ini.

”Insya-Allah, dengan kerjasama dan komitmen ahli-ahli jawatankuasa, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya selaras dengan peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai pelantikannya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan pelantikan Encik Arifin dan 18 individu lagi yang berkuat kuasa serta merta telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka yang dilantik adalah bekas Ketua Setiausaha Negara Encik Samsudin Osman; bekas Ketua Polis Negara Encik Norian Mai; bekas Panglima Angkatan Tentera Encik Zulkifli Zainal Abidin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof Dr Mohamad Taha Arif; pakar bedah jantung Dr Yahya Awang.

Turut menganggotai jawatankuasa itu Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Encik Ter Leong Yap; Pro-Canselor Universiti Cyberjaya Dr R Palan, bekas Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Peguam Negara Encik Sallehuddin Saidin, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan pakar kesihatan awam Prof Dr Andrew Kiyu Dawi Usop.

Selain itu juga dilantik adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Encik Sukarti Wakiman; Ahli Parlimen Tanjung Karang Encik Noh Omar; Ahli Parlimen Batang Lupar Encik Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Beaufort Encik Azizah Mohd Dun.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Encik Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut tersenarai dalam jawatankuasa berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri menyatakan jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Selain Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pula akan berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan