Bekas askar Gurkha tanpa kedua belah kaki cipta sejarah takluk Gunung Everest
(Gambar: AFP/Prakash Mathema)
KATHMANDU: Seorang bekas askar Gurkha dalam tentera British yang kehilangan kedua-dua kakinya di Afghanistan telah sampai ke puncak Gunung Everest, sekali gus mencipta sejarah bagi dirinya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Hari Budha Magar, 43 tahun, menjadi individu pertama tanpa kaki dari paras lutut untuk mendaki gunung tertinggi di dunia itu.
Bekas askar itu tiba di Gunung Everest pada 17 April, genap 13 tahun sejak beliau kehilangan kakinya akibat alat letupan buatan sendiri (IED) di Afghanistan pada 2010.
Tetapi dia terpaksa menunggu sehingga 19 Mei untuk sampai ke puncak dan dia terpaksa menghabiskan 18 hari menunggu di kem induk Everest untuk cuaca cerah.
Semasa mendaki, bekas askar dan rakan-rakannya yang lain berdepan dengan keadaan sejuk beku dan dia melihat dua mayat diheret ke bawah.
Walaupun keadaan selamat untuk sampai ke puncak, cuaca buruk bermakna gogal dan topeng oksigennya menjadi beku dan dia hanya mempunyai beberapa minit di puncak gunung tersebut.
Encik Budha Magar mula-mula ingin mendaki gunung semasa dia berjalan kaki ke sekolah berkaki ayam.
Dia meninggalkan Nepal untuk berkhidmat sebagai koperal dengan rejimen Gurkha dalam tentera British sebelum kecederaan itu mengubah hidupnya.
Menurut bekas askar itu, dia percaya hidupnya "sudah musnah sepenuhnya" selepas kehilangan bahagian bawah kaki dan dia bergelut untuk naik kerusi roda atau berpindah ke kereta.
"Saya membesar di Nepal sehingga usia 19 tahun, dan saya melihat bagaimana orang kurang upaya dilayani. Ramai orang menganggap kecacatan saya disebabkan oleh dosa masa silam dan saya adalah beban di dunia ini. Saya percaya ini sendiri kerana itulah yang saya lihat. Begitulah cara saya membesar."
Pada awalnya, dia merancang untuk mendaki Gunung Everest pada 2018 tetapi golongan yang kehilangan kedua-dua belah kaki dan buta tidak dibenarkan mendaki gunung itu.
Ia merupakan usaha untuk mengurangkan jumlah pendaki yang mati di puncak gunung tersebut.
Dia turut membantu untuk berkempen agar larangan itu dimansuhkan. Sejak itu, lebih ramai individu sepertinya datang mendaki di Nepal, katanya.
Untuk selesaikan cabaran itu, Encik Budha Magar perlu mendapatkan kaki palsu yang direka khas supaya dapat mengatasi salji.
Kaki tersebut dipanggil "kaki labah-labah".
Sebaik sahaja dia turun dari gunung itu, Budha Magar tidak sabar untuk meluangkan masa bersama keluarganya di Canterbury, England.
Dia juga ingin pulang ke Afghanistan, iaitu tempat di mana dia kehilangan kedua-dua kakinya untuk mengucapkan "terima kasih".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.