Skip to main content

Dunia

Bekas anggota Parlimen Thailand tembak mati pegawai kerajaan akibat pertikaian wang

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas anggota Parlimen Thailand tembak mati pegawai kerajaan akibat pertikaian wang

Bekas anggota Parlimen Thailand Chalong Riewrang ketika disoal siasat polis selepas dia didakwa menembak mati Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Nonthaburi Thongchai Yenprasert di Nonthaburi, Thailand pada 10 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Arnun Chonmahatrakool)

Diterbitkan : 10 Aug 2026 09:10PM
  • Chalong Riewrang, bekas ahli Parlimen, menembak mati Thongchai Yenprasert di pejabat Nonthaburi pada 10 Ogos akibat pertikaian wang lama.
  • Pemandu Thongchai turut cedera, manakala Chalong mengaku bertindak sendirian selepas mangsa enggan berbincang mengenai hutang.
  • Insiden ini berlaku beberapa hari selepas serangan tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi yang mengorbankan sembilan orang.
  • Pihak berkuasa, termasuk Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan, memperketat undang-undang senjata api dan memperkenalkan protokol keselamatan sekolah baharu.
Dijana oleh AI
BANGKOK: Seorang bekas anggota Parlimen Thailand menembak mati seorang pegawai kerajaan di sebuah pejabat tempatan di Nonthaburi pada Isnin (10 Ogos), dengan polis berkata kejadian itu berpunca daripada pertikaian peribadi mengenai wang.

Suspek, Chalong Riewrang, melepaskan tembakan ke arah Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Nonthaburi Thongchai Yenprasert.

Pemandu Encik Thongchai turut cedera dalam kejadian itu tetapi tidak berada dalam keadaan kritikal.

“Motifnya adalah peribadi,” kata Leftenan Jeneral Polis Wattana Yijin kepada wartawan.

Encik Thongchai kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya di Hospital Phra Nang Klao di Nonthaburi, menurut pengarah hospital Dr Sakol Sookprome.

Ketika dalam tahanan polis, Chalong berkata dia pergi menemui Encik Thongchai berhubung pertikaian mengenai wang yang sudah berlarutan sekian lama.

Menurut Chalong, dia mahu berbincang dengan Encik Thongchai tetapi mangsa enggan berbuat demikian.

Chalong mengaku mengeluarkan senjata api selepas mengikuti Encik Thongchai ke keretanya.

Polis menyatakan Chalong mengaku sebagai satu-satunya individu yang melepaskan tembakan dalam kejadian itu.

Senjata api turut ditemukan di dalam kenderaan Encik Thongchai tetapi belum digunakan, manakala rakaman CCTV menunjukkan hanya Chalong melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Menurut polis, pertikaian itu membabitkan beberapa juta baht, bersamaan puluhan ribu dolar Amerika.

“Ia isu peribadi. Menurut pengakuannya, ia berkaitan wang yang dipinjam pengerusi itu daripadanya sejak beberapa tahun lalu dan beliau sudah beberapa kali meminta wang itu dikembalikan,” menurut polis.

Gabenor Nonthaburi Chestha Mosikarat berkata suspek dan mangsa sudah lama berkawan dan kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah faham.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap Chalong, yang merupakan bekas anggota parti pimpinannya.

“Tidak kira siapa dia, dia kini seorang pembunuh,” kata Encik Anutin.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melancarkan serangan tembakan di rumahnya sebelum menyerang Sekolah Debsirin Nonthaburi pada Jumaat (7 Ogos).

Seramai sembilan orang maut dalam kejadian itu, termasuk si penyerang, manakala lebih 20 yang lain cedera.

Susulan serangan tersebut, langkah keselamatan dipertingkat di sekolah-sekolah, manakala Encik Anutin mengarahkan penguatkuasaan lebih ketat terhadap individu yang membawa senjata api di tempat awam.

Kementerian Pendidikan Thailand juga akan membangunkan protokol keselamatan sekolah baharu dalam tempoh tiga bulan, termasuk saringan kesihatan mental, latihan tindak balas kecemasan dan langkah mengesan senjata serta barangan larangan.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita