Bekas ahli GISBH dakwa diugut, dipisahkan daripada anak kerana tinggalkan pertubuhan
Seorang bekas ahli GISB Holding (GISBH) mendakwa dirinya diugut hanya kerana ingin meninggalkan kumpulan itu.
Ahmad (bukan nama sebenar) menceritakan pengalamannya ketika bersama GISBH. (Gambar: NSTP)
Individu yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ahmad itu juga memberitahu Berita Harian Malaysia bahawa empat anaknya, yang ditempatkan di pusat jagaan kumpulan tersebut, dipindahkan oleh GISBH ke beberapa lokasi lain.
Perkara itu dilakukan agar keempat-empat kanak-kanak itu tidak dapat dijejaki oleh ibu bapa mereka.
"Paling menyedihkan saya keluar, anak kami kemudian dipindahkan ke pelbagai pusat jagaan lain. Selama dua tahun saya berjuang menjelajah dari satu negeri ke negeri lain untuk mencari mereka, namun tidak ditemui.
"Sehinggalah isu ini terbongkar dan polis menyerbu pusat jagaan milik GISBH di Selangor, baharulah saya dapat temui semula empat anak saya yang diambil organisasi ini," tambah beliau.
Encik Ahmad berkongsi tentang nasibnya ketika ditemui Berita Harian Malaysia semasa penyerahan sumbangan zakat kepada bekas ahli GISBH di Pejabat Perlis Centre of Wisdom anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Jumaat (4 Okt).
Encik Ahmad, yang berasal dari Johor, berkata beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan GISBH selepas mendapati setiap tindakan mereka menyeleweng daripada landasan ajaran Islam sebenar.
Bercerita lanjut, Encik Ahmad berkongsi bahawa beliau menyertai GISBH sebaik sahaja tamat sekolah menengah di satu daerah di Johor pada sekitar 2009.
Abangnya memperkenalkan GISBH kepadanya kerana melihat pertubuhan itu sebagai cabang cara hidup Islam yang sempurna.
Pertubuhan itu dikatakan mengamalkan pelbagai aspek kehidupan menerusi perniagaan, media dan pelbagai lagi.
"Saya diperkenalkan melalui satu projek kesenian lukisan yang membawa saya ke pejabat GISBH di Bandar Country Homes di Rawang. Di situlah saya menjalani pelbagai aspek kehidupan dan perjuangan cara Islam yang saya gambarkan sebagai model yang harus saya ikuti," cerita Encik Ahmad.
"Satu persatu cabang saya ikuti termasuklah perniagaan makanan kemudian ke sektor perkilangan sebelum dihantar ke Sarawak untuk meneroka pasaran perniagaan di negeri itu pada 2011, di mana saya menerajui perniagaan francais restoran di bawah kelolaan GISBH dengan membuka pelbagai cawangan di Kuching, Miri, Bintulu dan beberapa lagi bandar di Sarawak." katanya kepada Berita Harian Malaysia.
Semasa menjadi anggota GISBH, Encik Ahmad telah bertemu jodoh sebanyak dua kali dengan dua orang wanita berasal yang dari Perak dan Selangor yang berusia 29 tahun.
Mereka kini dikurniakan lima orang anak berusia antara empat hingga 11 tahun.
"Selepas pernikahan saya inilah, penyelewengan itu mula saya kesan dan tanpa saya beritahu secara terperinci bentuk penyelewengan itu, saya boleh katakan di sini apa yang didedahkan dan ditemui oleh polis serta Jabatan Agama Islam di setiap negeri adalah benar," tegas Encik Ahmad.
"Paling saya terkilan apabila dipisahkan daripada anak sendiri di mana empat anak saya hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama diambil dan diletakkan dalam pusat jagaan organisasi ini sehinggakan jika hendak berjumpa mereka pun mesti mendapat kebenaran ketua pusat jagaan itu," katanya lagi.
"Sudah muak dengan rutin serta tindak tanduk meragukan daripada organisasi itu, saya mengambil keputusan keluar daripada jemaah itu pada 2021."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.