Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekalan telur ayam berkurangan dalam kalangan peruncit M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Negeri Sembilan mengesan masalah kekurangan bekalan telur ayam di peringkat peruncit di beberapa kawasan di negeri tersebut.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, ia disebabkan oleh permintaan yang agak tinggi daripada pengguna terutama menjelang musim perayaan Deepavali tidak lama lagi, menurut laporan Sinar Harian.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan sejak awal Oktober ini, didapati terdapat kekurangan bekalan telur ayam pada peringkat peruncit di sesetengah kawasan seperti di Nilai."

"Namun begitu, pengurangan bekalan di sesetengah kawasan terbabit tidak memberikan kesan kenaikan harga dan peniaga masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (18 Okt), lapor Sinar Harian.

Menurutnya lagi, bagi peringkat runcit, harga ditetapkan kerajaan untuk telur Ayam Gred A RM 0.45/biji, Gred B RM 0.43/biji, dan Gred C 0.41/biji.

Bagi memastikan bekalan telur ayam di negeri itu sentiasa mencukupi, pihaknya akan memantau kedudukan bekalan telur ayam di 151 peruncit terpilih.

"Berdasarkan rekod pada 18 Oktober lalu, terdapat 308,470 biji telur pelbagai gred berada di pasaran untuk pengguna yang disediakan di 151 peruncit."

"Semakan juga telah dijalankan di dua ladang telur ayam di negeri ini dan mendapati tidak berlaku pengurangan pengeluaran bekalan telur ayam di peringkat ladang," jelasnya, dipetik oleh Sinar Harian.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu aduan melalui sistem e-aduan KPDNHEP berhubung kekurangan bekalan telur ayam di sebuah premis di Nilai.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati, hanya premis berkenaan yang mengalami kekurangan bekalan berikutan permintaan yang tinggi.

"Pengguna dinasihatkan supaya membuat pembelian telur ayam secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja."

"Sekiranya pengguna membuat pembelian secara panik dengan kuantiti yang banyak, ia akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat secara tiba-tiba," ujarnya.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan