Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekalan kurang, harga kelapa di Malaysia naik mendadak jelang Thaipusam

Seorang pembekal utama buah kelapa di Pulau Pinang mendakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit menjelang perayaan Thaipusam akibat masalah pengeluaran hasil komoditi berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan kurang, harga kelapa di Malaysia naik mendadak jelang Thaipusam

Seorang pembekal utama buah kelapa di Pulau Pinang dakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit menjelang perayaan Thaipusam. (Gambar: iStock/Berk Ucak)

Diterbitkan : 03 Feb 2025 03:36PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 03:39PM
PULAU PINANG: Seorang pembekal utama buah kelapa di Pulau Pinang mendakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit menjelang perayaan Thaipusam akibat masalah pengeluaran hasil komoditi berkenaan.

P. Sarasvathy, 66 tahun, berkata, masalah itu berpunca daripada tanaman pokok kelapa di tiga ladang yang dipajak di Perak iaitu Bagan Datoh, Pantai Remis dan Kuala Bernam tidak menjadi hingga menyebabkan ia tidak mengeluarkan hasil seperti kebiasaan.

"Jika diikutkan tahun-tahun sebelum ini, saya boleh bekalkan 80,000 hingga 100,000 biji untuk Thaipusam, tapi tahun ini saya tidak dapat penuhi permintaan pelanggan.

"Malah saya langsung tidak mengambil tempahan. Ramai pelanggan termasuk pelanggan tetap telefon nak tempah, tapi saya terpaksa tolak," katanya ketika ditemui di premisnya di Lorong Abu Siti, pada Jumaat (31 Jan).
 
Tidak seperti sebelum ini, setiap tandan buah kelapa kini hanya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya lima biji. (Gambar: Unsplash/Feng Shan)
Cik Sarasvathy berkata, ini adalah kali pertama dia dan suami A. Anbarasan, 71 tahun, berdepan masalah sedemikian sejak memulakan perniagaan itu kira-kira 40 tahun lepas.

Beliau berkata, sebelum ini, dua minggu menjelang Thaipusam enam pekerjanya sudah sibuk menyiapkan tempahan pelanggan, tetapi kali ini semuanya berubah.

Ibu kepada tiga anak itu berkata isu berkenaan mula disedari sejak Mei tahun lepas, apabila berlaku penurunan ketara terhadap pengeluaran hasil buah kelapa dan ia berlarutan hingga ke hari ini.

Beliau berkata, ketika ini setiap tandan buah kelapa hanya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya lima biji berbanding sekitar 20 biji sebelum ini.
 
Bekalan yang berkurangan di kebanyakan tempat menyebabkan harga sebiji kelapa naik mendadak. (Gambar: Unsplash/zibik)
"Jika dulu setiap dua hari boleh tuai 10,000 hingga 15,000 biji tetapi sekarang 2,000 hingga 2,500 biji saja. Saya ada juga cuba dapatkan bekalan daripada pemborong di Kelantan tapi mereka pun bagitahu tidak cukup (bekalan)," tambahnya.

Cik Sarasvathy berkata, bekalan terhad itu hanya mencukupi untuk kegunaan harian di kedai santan yang diusahakan di Jelutong dan Taiping, Perak serta beberapa premis santan lain sekitar bahagian pulau yang adalah pelanggan tetap mereka.

"Saya pun tak pasti apa punca sebenar kepada masalah ini. Kalau dilihat pokok itu, nampak elok dan sihat tetapi hasilnya sahaja yang berkurangan. Saya juga buntu memikirkan masalah ini kerana ia tak pernah terjadi," katanya, yang turut memberitahu keseluruhan ladang mempunyai kira-kira 420,000 batang pokok.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V Subbarow berkata, isu berkaitan bekalan buah kelapa bukan perkara baharu, malah hasil tinjauan pihaknya mendapati bekalan berkurangan di kebanyakan tempat hingga menyebabkan harga sebiji naik mendadak.

"Bagi buah kelapa tempatan, hari ini harga boleh mencecah sehingga RM3.90 (S$1.19) sebiji manakala RM3 (S$0.90) sebiji bagi buah kelapa yang diimport dari Indonesia.

"Justeru, CAP mencadangkan supaya kerajaan dapat mengawal harga buah kelapa khususnya ketika perayaan Thaipusam kerana ketika ini permintaan adalah tinggi dan kita bimbang harga mungkin akan naik lagi jika tidak dikawal," katanya.
Permintaan lebih tinggi menyebabkan kekurangan dalam industri pemprosesan kelapa Indonesia. (Gambar: Unsplash/Dang Cong)
Beliau berkata, penganut Hindu juga dinasihatkan untuk mengurangkan jumlah buah kelapa yang dipecahkan bagi mengelakkan pembaziran.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Malaysia berkata bulan lepas ia akan meningkatkan import kepada 500 tan sebulan mulai Februari dengan membeli lebih banyak kelapa matang dari Indonesia.

Import dari Indonesia telah meningkat kepada 320 tan pada Disember 2024, meningkat daripada 180 tan sebelum ini, lapor Malay Mail.

Tetapi permintaan lebih tinggi itu telah menyebabkan kekurangan dalam industri pemprosesan kelapa Indonesia sendiri.

Pada Disember, Persatuan Industri Pemprosesan Kelapa Indonesia menggesapemerintah melaksanakan dasar seperti sekatan eksport, kuota atau subsidi untuk industri itu, lapor laman berita Jakarta Globe.

Persatuan itu berkata pemproses kelapa Indonesia beroperasi pada kapasiti 30 peratus disebabkan kos bahan mentah yang tinggi, dan harga kelapa di pasaran tempatan telah meningkat kepada kira-kira 15,000 rupiah (S$1.24) setiap satu, meningkat daripada kira-kira 6,000 rupiah sebelum ini.
Sumber : Agensi berita/SU/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan