Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekalan elektrik Hokkaido terputus dek salji tebal

Anggaran Waktu Membaca:

TOKYO: Salji tebal terus menyelubungi kawasan utara, timur dan barat Jepun pada Sabtu (24 Dis), menjejas trafik dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. 

Salji yang melanda pantai Laut Jepun di kawasan utara dan barat negara itu sejak 17 Disember meragut nyawa 11 orang dan menyebabkan 77 yang lain cedera setakat pagi Sabtu (24 Dis), menurut penyiar awam Jepun NHK. 

BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS DI HOKKAIDO, NIIGITA

Menurut NHK, lebih 7,500 keluarga di wilayah paling utara Jepun, Hokkaido, bergelap setakat pukul 11.00 pagi. 

Hokkaido Electric Power menyatakan pemeriksaannya mendapati menara keluli yang menyokong laluan tenaga jatuh dan ia tidak pasti bila ia boleh memulihkan bekalan elektrik. 

The Japan News melaporkan ribut menyebabkan menara penghantaran roboh di bandar Monbetsu di Hokkaido pada Jumaat (23 Dis), menyebabkan bekalan elektrik terputus sementara bagi sehingga 24,000 keluarga di kawasan tersebut, termasuk seluruh bandar Monbetsu. 

Pemerintah wilayah Hokkaido pada Jumaat malam menggesa Pasukan Pertahanan Awam supaya mengerahkan pasukan bantuan bencana untuk menghulurkan bantuan di Mombetsu, lapor NHK. 

Sebagai tindak balas kepada permintaan Hokkaido untuk bantuan bencana, sekitar 20 anggota pasukan tersebut memberi bantuan di sebuah tempat berteduh yang dibangunkan di bandar berkenaan, meminjamkan dapur gas dan barangan lain, lapor The Japan News. 

Sekitar 6,800 keluarga di wilayah Niigata turut bergelap setakat pukul 6.00 pagi Sabtu disebabkan angin kencang dan pokok yang tumbang akibat salji tebal, lapor NHK, memetik syarikat perbekalan Tohoku Electric Power.

Jalan raya di wilayah tersebut ditutup dan khidmat kereta api ditangguhkan. 

PENERBANGAN DIBATALKAN

Salji dan angin kencang juga menjejas trafik udara, lapor NHK. 

Menurut penyiar nasional, Japan Airlines membatalkan 14 penerbangan keluar masuk Niigata, Komatsu dan lapangan terbang lain setakat pukul 6.00 pagi Sabtu. 

Syarikat penerbangan lain juga menghubungi pelanggan untuk memantau maklumat terkini di laman web mereka, kerana lebih banyak penerbangan mungkin dibatalkan. 

Para pegawai cuaca menggesa penduduk supaya berjaga-jaga dan mengelak sebarang perhimpunan tidak penting sehingga Isnin (26 Dis) kerana salji tebal boleh menjejas trafik dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan