Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekalan air bagi 200 kawasan di Johor terganggu susuli kebakaran loji

Kira-kira 200 kawasan di Johor Bahru, Kulai dan Iskandar Puteri mengalami gangguan bekalan air luar jangka berikutan dua unit transformer di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kota Tinggi terbakar, semalam (12 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan air bagi 200 kawasan di Johor terganggu susuli kebakaran loji

Seorang ahli bomba memadamkan api di sebuah loji di Johor. (Gambar: Facebook: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor).

Diterbitkan : 13 Oct 2021 08:39PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 08:42PM

JOHOR BAHRU: Kira-kira 200 kawasan di Johor Bahru, Kulai dan Iskandar Puteri mengalami gangguan bekalan air luar jangka berikutan dua unit transformer di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kota Tinggi terbakar, semalam (12 Okt).

Ranhill SAJ Sdn Bhd menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini (13 Okt) memaklumkan antara kawasan terjejas melibatkan Senai, Skudai, Pulai, Austin, Sedenak, Seelong, Kempas, Kulai, Gelang Patah dan Nusajaya.

"Kebakaran itu mengakibatkan loji dihenti tugas. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan kebakaran dan tiada korban nyawa dilaporkan.

"Pihak kami sedang berusaha bersama dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat.

"Mengikut maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah selama 12 jam selepas loji beroperasi semula dengan kapasiti penuh," menurut Ranhill SAJ.

Syarikat pembekalan air bersepadu di negeri itu memaklumkan selain kawasan perindustrian dan taman perumahan, kawasan terjejas termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut Marin, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Taman Tema Legoland dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan menerusi kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada 2.57 petang.

"Seramai 12 anggota termasuk pegawai dari BBP Kota Tinggi bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. Didapati berlaku kebakaran dua unit transformer kira-kira 80 peratus setiap satu.

"Kebakaran mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 4.45 petang semalam.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan