Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beijing tutup taman, Shanghai perketat syarat kemasukan sedang kes COVID meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Beijing tutup taman, Shanghai perketat syarat kemasukan sedang kes COVID meningkat

Gambar: Noel Celis /AFP

Diterbitkan : 22 Nov 2022 11:19PM Dikemas Kini : 22 Nov 2022 11:19PM

BEIJING: Beijing mengambil tindakan menutup taman dan muzium pada Selasa (22 Nov) manakala Shanghai memperketat syarat kemasukan ke bandar itu sedang pihak berkuasa China bergelut dengan lonjakan kes COVID-19 yang meningkatkan keprihatinan tentang keadaan ekonomi dan sekali gus menghakis harapan bahawa negara itu akan dibuka semula tidak lama lagi.

China melaporkan 28,127 kes baru jangkitan tempatan pada Isnin, iaitu hampir mencapai jumlah kes harian rekod yang dicatat pada April. Kes jangkitan di Guangzhou di selatan China dan Chongqing di barat daya negara itu menyumbang kepada sekitar separuh jumlah keseluruhan tersebut.

Kes COVID-19 di Beijing mencecah paras rekod setiap hari, menyebabkan pemerintah ibu kota China itu menggesa lebih ramai penduduk agar jangan keluar rumah dan menunjukkan hasil ujian negatif COVID-19 yang diambil tidak lebih lama daripada tempoh 48 jam untuk memasuki bangunan-bangunan awam.

Pada lewat Selasa, hab kewangan Shanghai mengumumkan bahawa mulai Khamis orang ramai tidak akan dibenarkan memasuki tempat-tempat seperti pusat beli-belah dan restoran dalam tempoh lima hari sebaik tiba di bandar itu, meskipun mereka boleh ke pejabat dan menggunakan pengangkutan awam. Sebelumnya, bandar yang mempunyai 25 juta penduduk itu mengarahkan agar pusat-pusat budaya dan hiburan di tujuh daripada 16 daerah ditutup selepas 48 kes baru jangkitan tempatan dilaporkan.

Gelombang jangkitan tersebut merupakan satu tamparan kepada penyesuaian dasar sifar COVID yang dikuatkuasakan oleh China, bertujuan untuk mendorong pihak berkuasa melaksanakan langkah-langkah sekatan lebih tertumpu berbanding perintah berkurung dan ujian besar-besaran. Langkah-langkah sedemikian mencengkam ekonomi dan mencetuskan kemarahan  penduduk hampir tiga tahun sejak pandemik melanda.

Dua lagi kematian dikaitkan dengan COVID-19 selepas tiga kematian dicatatkan sepanjang hujung minggu lalu, iaitu antara kematian yang pertama dilaporkan oleh China sejak Mei.

Meskipun langkah-langkah kawalan sudah disesuaikan, China masih merupakan antara segelintir negara di dunia yang mengekalkan larangan ketat termasuk sempadan yang masih ditutup.

Langkah-langkah diperketat di Beijing dan bandar-bandar lain, meskipun China sedang berusaha untuk tidak melaksanakan perintah berkurung seluruh bandar seperti yang melumpuhkan Shanghai tahun ini, mencetuskan semula kebimbangan para pelabur tentang ekonomi kedua terbesar di dunia itu, yang menyebabkan bursa saham merudum dan mendorong para pengamat untuk mengurangkan ramalan permintaan minyak menjelang akhir tahun.

Pemerintah China bertegas dasar sifar COVID Presiden Xi Jinping telah menyelamatkan nyawa dan perlu untuk memastikan sistem jagaan kesihatan tidak dibebani jumlah kes keterlaluan.

Namun ramai pengguna media sosial membuat perbandingan  keadaan di China dengan persekitaran di kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar, di mana kebanyakan peminat tidak memakai pelitup.

Para penganalisis memberi amaran, pembukaan semula ekonomi China secara sepenuhnya memerlukan usaha  suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 secara besar-besaran dan perubahan kepada mesej yang disampaikan oleh pihak berkuasa sungguhpun orang ramai masih berasa takut dengan koronavirus itu.

Menurut pihak berkuasa, kapasiti hospital dan klinik demam akan ditambah untuk memeriksa pesakit, sementara program vaksinasi sedang dilakarkan.

Sumber : Reuters/ZM/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa